KUCHING: Kerajaan Persekutuan harus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya di Sarawak dan Sabah dari segi penyediaan infrastruktur terutama premis perniagaan.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia bagi membolehkan golongan usahawan itu membangun dan mengembangkan perniagaan, sekali gus menjana pendapatan yang lebih baik.
“Takkan biar mereka berniaga cukup dengan atap saja, setidak-tidaknya pun masuk pusat beli belah, premis atau persekitaran yang kondusif.
“Diharap dalam bajet akan datang, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat diberi peruntukan untuk menyediakan premis perniagaan selain daripada bantuan kewangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2023 Peringkat Wilayah Sarawak di sebuah kompleks beli belah di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr. Ripin Lamat dan Ketua Setiausaha KUSKOP Dato Sri Suriani Ahmad.
Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Kerajaan Sarawak sangat komited dalam membantu PKS untuk maju dalam perniagaan menerusi pelbagai bantuan termasuk dari segi penyediaan premis.
“Di Sarawak, setakat ini mempunyai 25 taman perindustrian dan 27 anjung usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak juga mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membantu PKS dari segi pemasaran produk.
“Ini penting dan kita harus bersama-sama menggunakan platform digital kerana ia membolehkan kita memperluaskan lagi pasaran produk,” katanya.



