ARTIKEL

ADUN Bebas See Chee How ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka TBC Sarawak 2024 di BCCK, di sini, hari ini.

See Chee How tidak sertai mana-mana parti sehingga DUN S’wak bubar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: ADUN Batu Lintang See Chee How tidak akan menyertai mana-mana parti politik sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sedia ada berakhir.

Walaupun pelbagai spekulasi mengenai ADUN Bebas itu menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tetapi beliau menjelaskan tidak dapat menyertai mana-mana parti politik ketika ini.

“Saya tidak dapat menyertai mana-mana parti politik sekarang sehingga DUN sedia ada dibubarkan.

“Selepas penggal sekarang berakhir, kita lihat bagaimana pula kerana tempoh masih panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Spekulasi beliau menyertai SUPP mula diperkatakan ketika dilihat hadir bersama barisan pemimpin parti itu pada Makan Malam Dr Sim bersama Pengamal Media Sarawak pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan See hanya mesra Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tidak menyertai partinya, namun tidak menafikan mereka melaksanakan beberapa kerjasama untuk pembangunan negeri.

Sementara ditanya adakah beliau akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, ujarnya ia belum dapat ditentukan lagi.

“Saya adalah ADUN Bebas dan saya tidak tahu lagi sama ada akan bertanding semula. Namun, diharapkan dapatlah berbuat demikian.

“Harus diingat dalam politik, sekiranya hendak memenangi pilihan raya anda harus bekerja keras kerana rakyat mahukan kualiti. Pemimpin yang berkhidmat untuk rakyat di kawasannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan melaksanakan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Sarawak dan SUPP demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ya, saya bekerjasama dengan sesiapa sahaja kerana sekarang ini terdapat banyak program yang dijalankan di DUN saya.

“Malah pihak kerajaan negeri turut datang memberikan sokongan terhadap aktiviti serta program yang dilaksanakan di kawasan Batu Lintang. Saya sangat berterima kasih dengan dukungan ini,” tegasnya.

Untuk rekod, See berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 12 Ogos 2022. Selepas itu, beliau menegaskan tidak akan menyertai mana-mana parti politik, jauh sekali membentuk parti baharu.

Ujarnya, beliau memilih menjadi Adun Bebas kerana ia memudahkannya menyumbangn lebih baik kepada rakyat dan negeri.
 
ADUN tiga penggal itu memenangi kerusi Batu Lintang pada PRN Sarawak ke-12 dengan memperoleh 4,420 undi dalam pertandingan lima penjuru menentang Sih Hua Tong (GPS), Cherishe Ng (PKR), Voon Lee Shan (PBK) dan Alex Leong (Aspirasi). .
 
Chee How yang sebelum ini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai PSB pada Mei 2020 selepas dipecat daripada parti itu kerana didapati melanggar tata etika dan disiplin.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU