KOTA SAMARAHAN: Bantuan motosikal menerusi Program Sejahtera MADANI Peningkatan Pendapatan: Bantuan Peralatan memberi sinar baharu kepada tiga penerima di sekitar Kota Samarahan untuk memperluas sumber pendapatan dan memudahkan urusan pekerjaan harian.
Majlis penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang kepada 12 penerima di Dewan Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin, Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak, di sini, hari ini.

Bagi Sidi Belki, 38, dari Kampung Meranek, bantuan motosikal yang diterimanya bukan sahaja memudahkan urusan menghantar barangan kepada pelanggan, malah membuka peluang untuknya menambah pendapatan menerusi jualan makanan secara kecil-kecilan.
Menurutnya, motosikal yang digunakan sebelum ini terbabit dalam kemalangan pada 20 Julai lalu, menyebabkan urusan pekerjaan dan penghantaran makanan kepada pelanggan menjadi lebih sukar.
“Apabila ada masa lapang, saya menjual cucur di kampung dan menghantar pesanan kepada pelanggan sekitar Kampung Meranek, termasuk di Uptown Kampung Meranek,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak hari ini.

Sidi menambah, dia turut terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan bahawa permohonannya mendapat bantuan berkenaan.
Sementara itu, Faizal Pauji, 35, dari Kampung Tanjung Bundong Tradisi, berkata motosikal berkenaan amat bermakna selepas hampir tiga tahun menjalankan pekerjaan sebagai penghantar.
Katanya, selain menghantar makanan, motosikal itu akan digunakan untuk menghantar pelbagai barangan kepada pelanggan termasuk keropok lekor, selain membantu orang ramai menguruskan urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira menerima bantuan ini. Ia akan memudahkan kerja saya sebagai penghantar,” katanya.
Bagi Nurul Maizatul Fitri Hashim, 30, dari Kampung Tanjung Bundong, motosikal diterima akan dimanfaatkan untuk membantu urusan perniagaan keluarganya menjual ikan di sekitar kampung.
“Saya tidak sangka dapat menerima bantuan ini. Saya sangat gembira, bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan ini.
“Saya baru sahaja mendaftar dalam sistem eKasih dan tidak menyangka permohonan ini mendapat perhatian,” katanya.
Program Sejahtera MADANI Peningkatan Pendapatan: Bantuan Peralatan bertujuan membantu golongan yang memerlukan meningkatkan keupayaan bekerja serta pendapatan melalui penyediaan peralatan bersesuaian dengan bidang pekerjaan dan keperluan penerima.



