ARTIKEL

Sejarah 300 tahun Santubong permulaan sebuah negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SANTUBONG, sebut sahaja namanya pasti ramai yang tahu bahawa ia sebagai pelancongan terkenal di Sarawak.

Di situ terletaknya kawasan Pantai Damai terkenal sebagai pusat peranginan yang menyajikan himpunan tradisi dan budaya komuniti yang mendiami Sarawak, terdiri daripada pelbagai kaum.

Sebelumdikenali sebagai pusat pelancongan, mungkin tidak ramai yang tahu sejarah permulaan Santubong.

Kita turut disajikan dengan cerita rakyat — kisah Puteri Santubong dan Sejinjang.

Bagaimanapun, sejauh mana kebenaran kisah tersebut, sukar diungkapkan.

Menerusi dapatan sejarawan, Santubong merupakan sebuah negeri.

Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Dr Sanib Said yang terlibat dengan penyelidikan dan kajian sejarah Sarawak berkata, sejarah Santubong bermula di Kuala Santubong.

“Berdirinya sebuah negeri di Kuala Santubong bermula dengan pengembaraan Raden Adipati Sari — anak raja dari Pulau Jawa.

“Kisah pengembaraan Datu Marapati bermula dari Kepulauan Jawa dan baginda berlayar di Samudera Raya menuju Tanjung Datu di Teluk Gadur dan akhirnya membuka kerajaan agung di Kuala Santubong atau dikenali sebagai negeri Santubong.

“Selepas perkahwinannya, baginda dan permaisuri berlayar dan akhirnya sampai ke Tanjung Datu, baginda menukarkan namanya kepada Datu Marapati,” katanya.

Menurut Dr Sanib, beliau didatangi seseorang yanfg menyerahkan naskhah manuskrip kuno dalam bentuk syair tentang negeri Santubong.

“Sebuah manuskrip tentang negeri Santubong berbentuk sebuah syair ini ditulis pada 1885.

“Ia merupakan manuskrip yang agak tua, cerita sejarah negeri Santubong ini boleh dipertanggungjawabkan, manuskrip ini juga menjelaskan tentang nama Marapati,” jelasnya.

Menurut Dr Sanib tulisan Jawi yang tercatat dalam manuskrip syair negeri Santubong merupakan aksara klasik yang tidak mempunyai tanda wacana iaitu baris dan titik berdasarkan ejaan jawi yang diperkenalkan Pendeta Za’ba.

Dalam manuskrip tulisan jawi Melayu ini katanya ejaan yang sangat jelas menunjukkan huruf mim, ra, pa, ta, ya yang merujuk kepada “marapati” dan bukan “merpati” seperti biasa dikenali di negeri Sarawak.

“Setelah saya mengkaji nama ini berdasarkan penyelidikan saya di Sumatera dalam bahasa Sanskrit, mara bererti bahaya dan pati bermaksud Raja, inilah erti nama “marapati” kemudian putera baginda bernama Marapati Jipang, Jipang yang merupakan sebuah negeri di Pulau Jawa.

“Inilah asal usul raja negeri Santubong, daripada penyelidikan saya dalam masyarakat Melayu. 

“Bong itu berasal daripada perkataan ruang dan ertinya terdapat satu ruang di dalam sebuah gunung, maka jadilah nama Santubong.

“Di samping itu juga terdapat dalam catatan China terdapat sebuah tempat bernama San Hu Cong, dalam catatan penggembara China itu, ia merujuk kepada gunung lautan batu karang,” katanya.

PENEMUAN ARKEOLOGI

Pakar sejarah Sarawak itu mendedahkan ia wujud sejak 300 tahun Sebelum Masihi.

Ia berdasarkan penemuan arkeologi yang dijalankan di Santubong, dengan ribuan serpihan tahi besi dan pasu Malaya yang kini ditempatkan di Jabatan Muzium Sarawak.

Antara lain yang ditemui di tapak tersebut ialah tokong atau kuil Hindu serta batu berukiran manusia atau berhala di Sungai Jaong, Bongkissam dan Bukit Maras.

Kepelbagaian budaya yang ditemui pada hasil arkeologi di Santubong membangkitkan persoalan tentang kerajaan awal.

Ia melengkapkan hipotesis bahawa terdapat lokasi pelabuhan yang menjadi persinggahan kapal pengembara asing.

Ini dikuatkan lagi dengan sejarah kerajaan awal Sarawak khususnya di Santubong yang diwujudkan oleh Datu Marapati semasa ketibaannya di Telok Gadur, sekali gus menjadikan Kuala Santubong sebagai negeri.

Baginda turut membina sebuah istana di atas Bukit Teguk, di kaki Gunung Santubong dan kawasan Batu Buaya digambarkan menjadi mercu tanda ibu kota negeri Santubong pada suatu masa dahulu.

NEGERI PELABUHAN

Pembesar Melayu yang wujud pada zaman silam, katanya tidak boleh diletakkan sebagai mitos atau legenda kerana sebenarnya mereka wujud berdasarkan catatan sejarah dan kajian. 

Malah, kedudukan Kuala Santubong yang strategik disifatkan antara faktor utama Datu Marapati membuat keputusan menjadikannya sebagai negeri pelabuhan.

“Dari tapak astana, Datu Marapati dengan mudah memantau dan mengawai pelabuhan di Kuala Santubong sebagai pelabuhan sesuai kerana gelombang besar disekat oleh pulau yang terdapat di sekitarnya.

“Ia merupakan ciri-ciri penting untuk sebuah pelabuhan, kemudahan akses ke Sungai Samariang, Sungai Kayan di Telaga Air memudahkan pedagang mengambil air tawar pada masa tersebut,” katanya.

Namun pada akhir abad ke-19, dibina sebuah rumah agam banglo oleh pemerintahan Brooke di atas tanah pada asalnya tapak kerajaan Datu Marapati.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU