MUKAH: Tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick Mukah mencipta sejarah dalam sukan Frisbee apabila terpilih menyertai Pasukan Remaja Malaysia bagi mewakili negara ke Kejohanan Ultimate Frisbee King Of The North (KONT) Penang 2025 peringkat antarabangsa.
Pelajar tersebut ialah Ayden Izael Kong Pang Zheng, Herrens Kiew Xuan Yii dan Brandon Fernandez Benedict Girim.
Menurut Jurulatih Pasukan Mukah Ultimate, Ismandi Dillah, pemilihan ini adalah atas kejayaan pasukannya mewakili Sarawak dalam Pool A dan dinobatkan Spirit Award dalam Kejohanan Johor Youth Open Ultimate di Batu Pahat, baru-baru ini.
“Selain pasukan Sarawak, tiga lagi pasukan dalam Pool A iaitu Johor, Perlis dan Kuala Lumpur menyenaraikan sembilan pemain daripada pasukan masing-masing untuk menyertai Pasukan Remaja Malaysia ini.
“Pemilihan akhir adalah daripada Ketua Jurulatih dan pihak pengurusan Pasukan Remaja Malaysia,” katanya kepada Suara Sarawak.
Ujar Ismandi, secara peribadi kejayaan ini cukup manis dan berharga kerana bukan mudah untuk pelajarnya terpilih, lebih-lebih lagi perlu bersaing dengan pemain-pemain dari negeri lain.
Sehubungan itu, katanya, latihan dijalankan mengikut modul yang telah diberikan kepada setiap jurulatih oleh Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Malaysia.
Katanya lagi, Pasukan Remaja Malaysia bertolak pada 4 Ogos untuk menjalani latihan pusat selama empat hari di Padang Polo, Pulau Pinang. Manakala, kejohanan KONT 2025 pula akan berlangsung pada 9 hingga 11 Ogos ini di lokasi yang sama.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memberi sokongan dan sumbangan bagi menyertai kejohanan ini.


