KUCHING: Rumah mereka condong, bertongkatkan tiang di bahagian tepi supaya tidak menyembah bumi.
Kedaifan ibu tunggal bersama dua anak perempuan sungguh sedih malah terpaksa menyara nenek dan seorang anak saudara.
Nasrisa Narawi, 33, cekal mengalas tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama untuk keluarganya.
Dia bekerja sebagai pembantu di gerai nasi ayam dan pendapatan bulanan tidak tetap kerana gaji bergantung kepada hasil jualan gerai tersebut.
Ibu Nasrisa pula menjaga kedua-dua anaknya ketika dia keluar bekerja.
Di rumah, ibunya membuat kuih untuk dijual bagi membantu mereka sekeluarga mendapatkan pendapatan tambahan terutamanya pada musim perayaan.
Rumah mereka diami di Kampung Semariang Batu kini, dalam keadaan uzur memandangkan banyak struktur rumah sudah rosak.
Pada masa sama, rumah itu tidak mempunyai bilik air yang sempurna dan menggunakan air untuk dituang secara manual ke mangkuk tandas.
Malah, untuk sampai ke pintu rumah Nasrisa juga sukar kerana laluan ke tempat itu tidak dapat dilalui kereta dan perlu melalui satu jambatan kayu dari jalan utama.
Sejajar itu, kesusahan yang dihadapi oleh Nasrisa sekeluarga mendapat perhatian daripada Persatuan Hope Place Kuching. Persatuan ini telah memberikan bantuan kepada keluarga tersebut meringankan beban mereka. Pengasasnya, Kelvin Wan menyumbangkan bantuan makanan asas kepada keluar- ga tersebut ketika mengadakan lawatan ke rumah Nasrisa, baru-baru ini.
Keluarga itu juga menerima bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kini Hope Place membantu lebih daripada 190 keluarga yang memerlukan.
Sekiranya orang ramai berminat untuk membuat sumbangan boleh membuat sumbangan terus ke akaun Persatuan Kebajikan Harapan Kuching Maybank 5112-8900-1160.