KUCHING: Sekitar RM6,554,327 nilai ketirisan diesel bersubsidi telah dirampas di Sarawak sepanjang tahun 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, nilai tersebut susulan rampasan daripada 168 kes yang direkodkan di bawah pelaksanaan Ops Tiris.
Daripada jumlah itu katanya, 62 peratus kes melalui penyerahan kes oleh polis di mana 17 kes diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 74 kes oleh Pasukan Polis Marin (MPF), dan 13 kes oleh Pasukan Gerakan Am.
“Ini menunjukkan polis telah memainkan peranan yang sangat baik dalam membantu KPDN dalam melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu ketirisan diesel bersubsidi.
“Semasa pertemuan saya dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata hari ini, kami membincangkan strategi untuk meningkatkan kerjasama berterusan antara KPDN dan PDRM Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR) di ruang letak kereta Mydin Bandar Baru Samariang di sini, hari ini.
Beliau turut mendedahkan dalam pertemuan itu, mereka membincangkan cara menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) penyerahan kes berkenaan.
“Ini supaya agensi yang mendapati sebarang perlanggaran terhadap undang-undang berkaitan diesel boleh mengemukakan segera kes dengan SOP yang betul bagi memastikan bukti dan butiran kes dikemukakan, membolehkan KPDN mengambil tindakan selanjutnya.
“Dengan memperkasakan aspek penguatkuasaan ini, kita harap dapat menangani isu berkenaan di Sarawak dengan lebih berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan menyatakan bahawa skop Ops Tiris pada 2024 akan terus diperkasakan dengan bukan sahaja meliputi minyak diesel bersubsidi malah diperluaskan kepada barangan kawalan lain seperti petrol RON 95, minyak masak bersubsidi satu kilogram, gas petroleum cecair (LPG) dan gula putih halus.
“KPDN bersama-sama PDRM dan agensi penguatkuasaan lain akan terus komited untuk memerangi ketirisan barangan kawalan bersubsidi dengan mengambil pendekatan kerajaan yang menyeluruh,” katanya.


