KUCHING: Pihak sekolah boleh menutup sekolah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sekolah ditutup atas faktor berkenaan, manakala bacaan IPU di beberapa kawasan di Sarawak kini berada pada tahap tidak sihat.
“Kita minta pihak sekolah mengikut garis panduan menangani jerebu.
Jika IPU melebihi 200, pihak sekolah boleh menutup sekolah tetapi perlu memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terlebih dahulu.
“Setakat ini belum ada kawasan yang IPU melebihi 200, jadi pihak sekolah dinasihatkan supaya tidak melaksanakan aktiviti luar,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Majelanu Sulong, menerusi kenyataan memaklumkan semua sekolah di bawah PPD Kuching perlu menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah ketika ini.
Katanya, semua sekolah juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan,” katanya.
Selain itu, setiap sekolah perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri dan mengambil air dalam kuantiti yang sesuai bagi membantu mengawal suhu badan.
Katanya, sekolah juga perlu membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain untuk mendapatkan bekalan air.
Majelanu berkata, setiap sekolah perlu sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku komplikasi terhadap murid akibat cuaca panas.





