PADA zaman sekarang, ramai dalam kalangan anak muda sudah mula membentuk pemikiran bahawa pendidikan bukan asas untuk mereka hidup. ‘
Sebahagiannya berfikiran bahawa asas untuk hidup ialah dengan menguasai teknologi moden sudah memadai.
Lebih membimbangkan, ada yang turut berpendapat tidak tamatkan pelajaran di sekolah tidak menjadi masalah buat mereka, asalkan berjaya dalam kelangsungan era teknologi.
Mengapakah perkara ini berlaku?
Adakah gara-gara pempengaruh menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial, segala ilmu dipelajari di sekolah tidak diperlukan semasa bekerja kelak?
Seperti baru-baru ini seorang guru mengundang perhatian ramai selepas memuat naik keputusan kertas peperiksaan pelajarnya di laman sosial.
Menurut guru itu, dia mempunyai 32 pelajar dan 90 peratus daripada mereka menghantar kertas soalan terbabit kosong tanpa menjawab apa-apa pun.
Difahamkan, kertas itu merupakan soalan mata pelajaran Sejarah bahagian B iaitu memerlukan pelajar menjawab soalan struktur dan esei.
Tambah guru itu lagi, dia juga pernah bertanya kepada pelajarnya impian mereka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malangnya pelajar menjawab ingin menjadi pempengaruh media sosial.
Lebih menyedihkan, rata-rata mereka menjawab berminat untuk menjadi pempengaruh dan hasilnya, mereka gagal menjawab soalan Sejarah itu.
Sebelum ini, terdapat beberapa pempengaruh menyatakan bahawa sekolah adalah sesuatu yang tidak berharga atau tiada nilai.
Kenyataan seperti inilah antara yang merosakkan minat pelajar sehinggakan mereka terpengaruh dan menjadikan pempengaruh ini sebagai suri teladan mereka.
Keadaan ini sangat meruncing dan ia perlu dilihat pada skala yang besar, tindakan konkrit harus dibuat segera. Ibu bapa juga perlu mainkan peranan.
Jangan biar anak-anak leka dengan dunia mereka sehingga mengabaikan pendidikan.
Sebab itu juga, sebagai pempengaruh yang diikuti oleh anak muda kebanyakannya, mereka ini sepatutnya memiliki sikap tanggungjawab kerana apa-apa sahaja cadangan atau pandangan mereka mampu mempengaruhi orang lain.
Sebagai pempengaruh, uaruarkan sekolah merupakan institusi penting yang membentuk individu dan masyarakat.
Sekolah juga berfungsi sebagai asas untuk pembelajaran, pertumbuhan peribadi dan pembangunan kemahiran penting yang diperlukan untuk mengemudi kehidupan mendatang.
Kepentingan sekolah juga melangkaui bilik darjah, ia mempengaruhi pelbagai aspek kesejahteraan diri dan masyarakat. Sekolah bukan hanya sekadar pembelajaran akademik, tetapi juga sebagai pembangunan kemahiran.
Pelajar yang melibatkan diri dalam aktiviti yang memupuk kreativiti, pemikiran kritis, pengurusan masa dan kerja berpasukan, sudah tentu menyediakan mereka ilmu untuk mendepani cabaran masa depan.
Sekolah juga meletakkan asas untuk usaha masa depan, sama ada dalam pendidikan tinggi atau tenaga kerja selain membentuk asas untuk penyesuaian perjalanan sepanjang hayat pembelajaran.
Malah sekolah sering memainkan peranan dalam menyemai nilai dan etika, menyumbang kepada pembangunan sahsiah yang baik, disiplin, dan rasa tanggungjawab.
Nilai yang dipelajari di sekolah inilah membentuk individu menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Justeru, peranan semua pihak dituntut bagi memastikan situasi pelajar menghantar kertas jawapan kosong kerana terpengaruh, tidak berulang kembali.
Sikap saling tuding-menuding jari juga bukan penyelesaiannya, jadi sebelum lebih parah ada baiknya semua pihak bersamasama mencari penyelesaiannya.
Mungkin pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pempengaruh yang dilihat memberi cadangan tidak berfaedah, apa-apa sahaja isu yang menggangu gugat kemaslahatan masyarakat di negara ini.
Sudah sampai masanya kita bertindak, jangan sampai satu tahap kebimbangan kita selama ini menjadi realiti dan semuanya tidak dapat dibaiki lagi.



