KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Padawan, Sarawak, dijangka siap pada September tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau memaklumkan bahawa projek tersebut telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) pada 2019 dan merupakan salah satu daripada dua Sekolah Pendidikan Khas (SPK) baharu yang sedang dibina.
“Satu lagi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang dijangka siap pada Februari 2026,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Isaiah Jacob, dalam Sidang Dewan Negara hari ini.
Menurutnya, pembinaan dua sekolah ini akan menambah bilangan SPK sedia ada kepada 37 di seluruh negara, sekali gus meningkatkan akses pendidikan kepada 3,086 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Selain pembinaan SPK baharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperluaskan akses pendidikan khas dengan membina bangunan tambahan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 33 lokasi di seluruh negara.
“Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, kerajaan telah memperuntukkan RM13.6 juta bagi menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah, termasuk susur tangan, susur landai, tandas OKU dan parkir khas OKU.
“Setakat ini, sebanyak 2,405 daripada 7,147 sekolah yang mempunyai MBPK telah dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, iaitu kira-kira 33.7 peratus daripada keseluruhan sekolah terbabit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan telah meluluskan pembinaan 11 pusat Program PERMATA Negara (PERMATA) baharu, yang turut dilengkapi dengan pusat didikan khas bagi anak-anak autisme.
“Kesemua inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan KPM dalam memastikan MBPK mendapat akses pendidikan inklusif yang berkualiti, sejajar dengan keperluan semasa,” katanya.


