MIRI: Sektor pelancongan di Sarawak menjadi salah satu pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, hal ini berikutan kerana sektor berkenaan telah banyak memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, ia dibuktikan melalui peningkatan bilangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini pada tahun lalu berbanding pada tahun sebelumnya.
“Pada tahun 2023, kita telah menerima kedatangan seramai 3.9 juta pelancong, dan sekali gus berlakunya peningkatan drastik iaitu sebanyak 93.82 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Selain itu, kita juga mencatatkan resit pelancongan sebanyak RM9.99 bilion yang menandakan peningkatan sekitar 101.41 peratus.
“Peningkatan sebanyak 84.3 peratus ini adalah agak luar biasa, dan ia merupakan proses pemulihan kepada tahun kemuncak pada 2019 yang membuktikan ketahanan kita dalam industri pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Semula Pusat Maklumat Pelancong (VIC) Miri di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan VIC Miri menjadi satu peristiwa penting yang mengiktiraf serta memacu sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya, VIC berfungsi sebagai pusat penting bagi pelancong untuk mendapatkan maklumat dan panduan bagi merasai pengalaman yang menyeronokkan di Sarawak.
“Bagi pembukaan semula VIC Miri ini, saya beranggapan bahawa ia bukan hanya sekadar sebuah bangunan, namun ia menggambarkan kemesraan wilayah ini dan juga keterbukaannya terhadap seluruh dunia.
“Melalui pembukaan semula VIC Miri ini juga, saya berharap agar ia dapat membantu memperkukuhkan lagi sektor pelancongan kita serta memperkayakan lagi pengalaman pelancong yang berkunjung.
“Ia adalah bertujuan bagi memastikan Sarawak sentiasa kekal menjadi destinasi yang menawarkan kelainan dan keunikan berbanding destinasi lain,” ujarnya.






