KUCHING: Lebih banyak peruntukan diperlukan bagi memulihkan serta memajukan sektor perikanan di negara ini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Justeru, beliau meluahkan harapan agar peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada LKIM menerusi Belanjawan 2025 untuk mencapai matlamat tersebut.
Menurutnya, peruntukan ini dapat digunakan untuk membaik pulih infrastruktur kompleks yang usang, selain memajukan industri perikanan laut marin.
“Dalam pada itu, kita juga mahu kerajaan menjaga kebajikan nelayan dengan meneruskan serta menambah jumlah peruntukannya dari segi subsidi dan insentif.
“Seterusnya, kita berharap agar projek-projek ekonomi yang dijalankan oleh persatuan nelayan dapat dibantu dengan menambah dana kepada persatuan berkenaan.
“Langkah ini bagi memastikan hasrat LKIM yang terangkum di dalam agenda ‘1 Produk 1 PNK’ (1P1P) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolam Pancing Satang Biru di Kampung Telaga Air di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menggalakkan daya saing maju dalam kalangan persatuan agar dapat memperoleh hasil yang tinggi, seterusnya membina ekosistem di mana nelayan tidak perlu bergantung kepada orang lain.
Tambahnya, penubuhan persatuan ini ditubuhkan bagi memastikan ekonomi nelayan dapat dipertingkat.
“Apabila hasil meningkat, komuniti nelayan tidak lagi perlu bergantung kepada agensi kerajaan, orang awam atau bergantung kepada orang politik.
“Biar nelayan jaga nelayan.
“Kita mahu bangunkan persatuan nelayan menjadi sebuah entiti perniagaan yang berdaya maju dan mereka perlu kuat untuk menjalankan projek ekonomi.
“Sudah pasti modal kewangan itu dibantu oleh kerajaan.
“Di samping mereka mencari pendapatan sendiri, persatuan boleh memainkan peranan dengan projek ekonomi yang dibangunkan bagi menambah pendapatan nelayan yang bernaung di bawahnya, sekali gus menjaga kebajikan mereka,” jelasnya.



