ARTIKEL

Fatimah mengabadikan kenangan bersama-sama penerima sumbangan sempena Program Sejambak Kasih di Sarikei.

Sektor Swasta Digalak Bantu Golongan Rentan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menyasarkan penyertaan lebih aktif agensi dan syarikat korporat dalam memperkasa usaha membantu golongan miskin serta berpendapatan rendah di negeri ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sokongan sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan agenda kebajikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Katanya, sumbangan yang diharapkan bukan terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya merangkumi pelaksanaan program latihan kemahiran, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pembangunan komuniti secara holistik.

“Pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai pihak mampu menjamin kelestarian bantuan kepada kumpulan sasar, selaras prinsip ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’ yang menjadi teras kerajaan negeri.

“Kerjasama strategik seperti ini membolehkan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan secara mampan dan memberi impak besar kepada komuniti,” katanya ketika merasmikan Program Sejambak Kasih Aidilfitri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata peniaga dan klinik swasta di Bahagian Sarikei turut mengambil langkah proaktif dengan menyertai inisiatif Kad Emas Kenyalang (KGC) sebagai rakan strategik.

Jelasnya, penyertaan itu dibuat secara sukarela dengan menawarkan potongan harga serta rebat bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan kepada warga emas.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuk diskaun barangan keperluan harian, rawatan kesihatan dan perkhidmatan pengangkutan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, beliau memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) membelanjakan RM299.7 juta sepanjang Januari hingga Disember 2025 bagi membantu 57,073 penerima bantuan bulanan di seluruh negeri.

Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei (PKMB) menyalurkan RM2.6 juta kepada 2,918 penerima di bahagian berkenaan.

Selain itu, Program Sejambak Kasih di Bahagian Sarikei turut memanfaatkan 420 individu yang dikenal pasti layak menerima bantuan, dengan kehadiran Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Datuk Micheal Ronnie Langgong bagi menyokong inisiatif berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU