PADA 1 Ogos 1988, Kuching melakar sejarah apabila diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Sarawak.
Seiring dengan pengisytiharan itu, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ditubuhkan sebagai dewan bandar raya ketiga di Malaysia.
DBKU akan terus komited memastikan pembangunan bandar raya Kuching dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan serta berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Saya merakamkan setinggitinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga bandar raya Kuching atas sokongan, kerjasama serta semangat kebersamaan yang terus menjadi tunjang kemajuan bandar raya tercinta ini.
Tidak dilupakan juga para wira yang sering berada di sebalik tabir, iaitu insan yang mungkin jarang disebut namanya, namun besar jasanya kepada bandar raya ini.
Kepada petugas barisan hadapan, petugas pembersihan dan petugas landskap yang melaksanakan amanah seawal dinihari saban hari dengan penuh dedikasi dan komitmen, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa serta pengorbanan yang dicurahkan.
Sesungguhnya, hasil usaha mereka dapat dilihat menerusi kebersihan, keindahan dan keceriaan bandar raya Kuching yang kita banggakan pada hari ini. Khidmat dan sumbangan mereka akan sentiasa dihargai serta menjadi sebahagian daripada kejayaan bandar raya tercinta ini.
Sepanjang 38 tahun sejak pengisytiharan Kuching sebagai bandar raya, pelbagai pencapaian dan transformasi telah dilaksanakan hasil usaha bersama antara kerajaan, agensi berkaitan, pihak swasta dengan seluruh komuniti.
Marilah kita terus berganding bahu untuk memelihara kebersihan, memperkukuh keharmonian dan memacu kemajuan bagi memastikan Kuching kekal sebagai bandar raya yang cantik, bersih, selamat, pintar dan lestari.
Semoga semangat perpaduan, rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap bandar raya tercinta ini terus subur serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Ayuh, kita terus bersamasama menjaga dan menyayangi Kuching, bandar raya yang menjadi kebanggaan kita semua.


