ARTIKEL

Selami dunia kanak-kanak melalui puisi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Buku ‘Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Bermain Gerimis’ ini menghimpunkan 52 buah karya puisi dengan pelbagai tema yang mempunyai jalinan pengalaman dan pengetahuan tentang dunia kanak-kanak.

Penulis mementingkan pemahaman kanak-kanak iaitu mengikut tahap penguasaan kanak-kanak untuk membaca koleksi puisi.

Namun begitu, penulis juga menyatakan terdapat beberapa buah puisi menggunakan tema dan bahasa yang agak tinggi.

Oleh itu, disarankan agar ibu bapa atau guru membimbing kanak-kanak ketika membaca puisi ini agar mereka dapat memahami konteks dan pemaknaan puisi dengan sebaiknya.

Antara tema utama yang digarap dalam buku ini berkaitan pendekatan puisi yang bersifat alam sekitar.

Selain itu, penulis juga mengetengahkan ilmu tentang kemudahan yang terdapat di bandar tetapi tiada di pedalaman.

Ia turut mengajak kanakkanak luar bandar untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman menjejak kaki ke bandar agar tidak berasa asing dengan kanak-kanak yang tinggal di bandar.

Dalam hal ini, pengulas mendapati gaya penulisan Lim Swee Tin dalam buku ini sangat santai dan mudah difahami.

Pengulas sebagai pembaca seakan-akan hanyut dalam dunia puisi yang penuh penceritaan dan pengalaman.

Gaya bahasa dan setiap tatabahasa yang digunakan oleh penulis mampu membantu pembaca untuk mendengar bunyi, membayangkan keadaan atau suasana sesuatu tempat seperti yang digambarkan dalam puisi itu.

Penulis sering menggunakan kata-kata yang dekat di hati dengan disertai ilustrasi yang menarik bagi menambah lagi minat pembaca untuk terus membaca puisi yang lain.

Naratif yang diketengahkan oleh penulis juga banyak berunsurkan alam selain menggunakan elemen kognitif yang bersifat pengetahuan am.

Kita boleh simpulkan, penulis mahu kanak-kanak yang membaca puisi ini dapat berasosiasi dan merapatkan diri dengan alam semula jadi.

Berkonsepkan puisi yang sesuai dengan pembelajaran, penulis banyak menerapkan elemen dan gaya baharu yang lebih segar bagi mewujudkan perbezaan dengan puisi yang sedia ada di pasaran.

Penulis ingin kanak-kanak yang membaca puisi ini menjadi kanak-kanak yang bersifat ingin tahu, bersifat petualang (suka melakukan perkara-perkara yang sukar untuk pengalaman diri) supaya dapat mengasah minda untuk menjadi lebih imaginatif dan kreatif.

Pengulas juga mendapati, penulis banyak menitikberatkan sahsiah kanak-kanak yang baik dan jiwa murni agar mereka menjadi manusia yang berakhlak tinggi.

Ini kerana, setiap penulisan puisi yang dihasilkan pasti berakhir dengan pengajaran, nasihat atau kata-kata mutiara yang dapat mengaspirasikan jiwa dan sahsiah kanak-kanak.

Daripada 52 buah puisi yang ada, pengulas menggemari puisi bertajuk ‘Menunggu Pelangi’.

Pemahaman pengulas sebagai pembaca, penulis ingin menggambarkan perasaan kanak-kanak yang suka menunggu terbitnya pelangi setelah hujan reda dan keindahan pelangi itu dapat menzahirkan perasaan yang sukar digambarkan.

Hanya mereka yang bernasib baik dapat melihat kesemua tujuh warna pelangi atau melihat pelangi seketika sebelum ia hilang di sebalik awan.

Oleh itu, ‘Menunggu Pelangi’ merupakan puisi kegemaran kerana mengajar pengulas bahawa ada kalanya apa yang kita inginkan sukar untuk kita peroleh.

Namun, Yang Maha Esa akan sentiasa menghadirkan kita sesuai dengan kehendak dan keperluan atau dengan erti kata lain, kita perlu bersyukur dengan segala yang kita lihat dan miliki.

TEMA

Walaupun buku puisi ini bertemakan alam semula jadi, namun penulis banyak menceritakan tentang perbezaan kehidupan yang dialami kanak-kanak di pedalaman mahupun di bandar.

Selain itu, perbezaan gaya hidup dan pengalaman yang dialami kanak-kanak ini tetap menunjukkan setiap keindahan di persekitaran mereka dan memperlihatkan kelainan yang mungkin pembaca lain tidak pernah rasai.

Justeru, puisi ini menjadi medium bagi kita untuk merasai pengalaman dengan menghayati penulisan puisi dengan berkesan.

TINJAUAN UMUM DAN REKOMENDASI

Buku ini sangat sesuai untuk pembacaan kanak-kanak yang suka akan puisi malahan bagi orang dewasa juga.

Penggunaan bahasa yang mudah difahami memudahkan orang dewasa mahupun kanakkanak untuk membaca puisi tanpa perlu membaca berulang kali.

Dari segi gaya penulisan, salah satu elemen yang menarik adalah penulis sentiasa mengekalkan bahasa yang santai dan mudah tanpa perlu menggunakan bahasa yang bombastik.

Kesimpulannya, pengulas amat menghayati buku ini kerana kaedah penyampaiannya yang menarik berserta ilustrasi bersesuaian bagi setiap tema yang disampaikan dalam setiap puisi.

Dan, ia banyak menyentuh tentang suasana sesuatu tempat, keadaan atau pengalaman yang membuatkan pembaca menjadi khusyuk ketika membaca.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU