KUCHING: Selampai sulam yang mempunyai keunikannya tersendiri, menambat hati ramai pelanggan apalagi ditambah dengan manik berwarna-warni.
Surie Juni, 46, yang sudah lebih lima tahun membuat selampai sulam mengakui, ia mampu memberikan pulangan berbaloi buat dirinya.
“Saya amat minat dengan seni menyulam, yang pada awalnya saya hasilkan untuk diri sendiri.
“Namun, selepas melihat hasil selampai sulam yang dihasilkan, di situ bermula tempahan pelanggan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Surie berkata selampai sulam banyak digayakan oleh golongan wanita ketika majlis keramaian.
Tambahnya untuk menghasilkan selampai sulam memerlukan kos agak tinggi susulan peningkatan harga benang, manik dan kain sulam.
“Tahun ini, bahan untuk menghasilkan selampai sulam meningkat sedikit berbanding tahun lepas.
“Oleh itu, saya terpaksa meningkatkan sedikit harga selampai sulam yang dihasilkan,” katanya.
Surie berkata, untuk menyiapkan satu selampai sulam, dia memerlukan sekurang-kurangnya sehingga dua minggu.
Tambahnya, untuk menghasilkan ia memerlukan ketelitian bagi mendapatkan hasil yang cantik.
“Setakat ini permintaan daripada pelanggan amat memberansangkan dan saya juga mempunyai pelanggan tetap.
“Walaupun mengambil masa untuk menyiapkan selampai sulam, namun mereka tetap sabar menunggu,” ujarnya.
Surie turut mendedahkan selampai sulamnya turut mendapat permintaan tinggi di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan juga Sabah.
“Saya sangat bersyukur kerana hasil tangan saya sangat dihargai oleh pelanggan,” ujarnya lagi.
Bagi yang ingin melihat hasil Surie ini atau membuat tempahan, sila layari laman Facebook Riena JNess.
Anggaran harga selampai sulam bermula RM200 hingga RM250.



