SELANGAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Parlimen Selangau bagi menyokong keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Menurut maklum balas bertulis KPM berhubung penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa, sebanyak 27 sekolah di Selangau telah dilengkapi kemudahan makmal komputer yang melibatkan 543 komputer riba, 28 pencetak, 28 projektor dan 19 troli pengecas. Secara keseluruhan, sebanyak 899 sekolah di seluruh Sarawak menerima manfaat melalui agihan hampir 18,000 unit komputer riba.
Selain itu, KPM memaklumkan lima sekolah di negeri ini terpilih bagi pelaksanaan projek rintis kelas hibrid yang dilengkapi papan pintar, kamera PTZ, mikrofon tanpa wayar dan televisyen pintar. Manakala, sebanyak 13 projek prabina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dirancang di Selangau di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tahun 2026.
Bagi aspek penyelenggaraan, SMK Ulu Balingan menerima peruntukan berjumlah RM93,200 untuk sistem rawatan air. Selain itu, RM440,000 disalurkan bagi kerja baik pulih kuarters guru dan RM603,000 diperuntukkan untuk penggantian perabot sekolah yang rosak akibat bencana banjir.
Semua sekolah di Selangau turut menerima naik taraf capaian internet melalui talian fiber, jalur lebar dan satelit. Ini termasuk 24 sekolah di kawasan pedalaman yang menerima kuota satelit sehingga 1 Terabyte (TB). Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau turut dibekalkan dengan 77 unit peranti ICT bagi menyokong urusan pentadbiran.
Mengenai aspek pembangunan fizikal, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) merancang untuk menggabungkan SK Nanga Kua dan SK Nanga Selangau ke tapak baharu di kawasan SMK Selangau yang bebas risiko banjir. Bagaimanapun, perancangan tersebut tertakluk kepada penyelesaian urusan pemilikan tanah di kawasan berkenaan.



