SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor akan melantik penyelaras khusus bagi memantau kebajikan kira-kira 10,000 sukarelawan sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penyelaras itu berkemungkinan terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian dan akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua hari.
Beliau berkata pelantikan itu penting bagi memastikan kebajikan sukarelawan sentiasa terjaga kerana mereka merupakan nadi kepada kelancaran temasya.
Sukarelawan turut menerima elaun RM100 sehari meliputi makan dan tugasan, elaun pengangkutan RM100 secara sekali bayar serta perlindungan insurans bertugas RM10,000.
Amirudin berkata Selangor perlu memastikan kelancaran penganjuran dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada dan kekuatan sukarelawan, khususnya tanpa sokongan kewangan khusus daripada Kerajaan Persekutuan seperti diterima tuan rumah sebelum ini.
Sementara itu, Exco Belia dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata SUKMA menjadi platform penting mengenal pasti bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. SUKMA Selangor berlangsung 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pada 5 hingga 14 Sept seperti dilapor Bernama.





