ARTIKEL

Selat Hormuz laluan kritikal dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Sejak abad ke-16, Selat Hormuz menjadi laluan perdagangan yang amat penting dalam menghubungkan Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Kepentingannya mula terserlah apabila kuasa kolonial Portugis menawan Pulau Hormuz pada 1515 di bawah pimpinan Afonso de Albuquerque, sekali gus mengawal aliran perdagangan serta mengenakan cukai ke atas kapal dagang yang melaluinya.

Kedudukannya yang strategik sebagai pintu keluar utama dari Teluk Parsi ke Laut Arab menjadikan selat ini terus relevan sepanjang sejarah.

Seiring dengan peredaran masa, kepentingannya meningkat dengan ketara pada abad ke-20 apabila penemuan minyak berskala besar di rantau teluk menjadikan Selat Hormuz sebagai laluan utama eksport tenaga dunia hingga hari ini.

Justeru, Selat Hormuz merupakan salah satu laluan sempit yang strategik (chokepoint) dan paling kritikal dalam ekonomi global kerana berfungsi sebagai laluan utama bagi eksport tenaga dari negara Teluk Parsi seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke pasaran antarabangsa.

Hal ini demikian kerana Arab Saudi merupakan pengeksport minyak terbesar ke pasaran dunia dan pada masa ini kapal tangki minyak mengalami kesukaran untuk melalui laluan tersebut.

Hanya beberapa negara sahaja yang dibenarkan melalui Selat Hormuz dan sekatan ini menyebabkan bekalan minyak dunia berkurangan.

Menurut pakar ekonomi dalam bidang sumber semula jadi, ekonomi Islam (kewangan), serta ekonomi antarabangsa dan tenaga dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Dr Abdul Hayy Haziq Mohamad, kepentingan Selat Hormuz dari sudut ekonomi sangat signifikan kerana dianggarkan sekitar 20 hingga 25 peratus daripada perdagangan minyak global yang melalui laut di selat ini setiap hari.

Katanya, jumlah ini bersamaan kira-kira 17 hingga 20 juta tong sehari, sekali gus menjadikannya antara laluan laut yang paling sibuk dan paling penting, khususnya dalam sistem tenaga dunia.

Selain itu, Selat Hormuz juga memainkan peranan penting dalam perdagangan gas asli cecair (LNG), khususnya dari Qatar ke pasaran Asia seperti Jepun, Korea Selatan, China dan India.

“Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan, tetapi merupakan nadi utama kepada kestabilan ekonomi tenaga global. Sebarang gangguan, walaupun kecil, boleh mencetuskan kesan berantai terhadap harga minyak, inflasi dan kesejahteraan ekonomi dunia.

“Kepentingan Selat Hormuz menjadi lebih jelas apabila dilihat dari sudut ekonomi global.

Pasaran tenaga dunia sangat sensitif terhadap sebarang gangguan di laluan ini kerana sifat penawaran minyak dan gas yang tidak anjal dalam jangka pendek.

“Dalam banyak keadaan, ketegangan geopolitik sahaja sudah cukup untuk meningkatkan harga minyak antara 10 peratus hingga 20 peratus dalam tempoh singkat.

“Selain itu, lebih 70 peratus eksport minyak dari rantau Teluk Parsi disalurkan ke Asia, menjadikan negara di rantau ini sangat bergantung pada kestabilan Selat Hormuz,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak baru-baru ini.

Di samping itu, beliau berkata kesan gangguan ini turut dirasai secara langsung oleh Malaysia.

Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, struktur tenaga domestik masih bergantung pada import petroleum bertapis, khususnya dari Timur Tengah.

“Apabila berlaku gangguan dalam rantaian bekalan global, kos import bahan api akan meningkat dan memberi tekanan terhadap harga domestik.

Situasi menjadi lebih mencabar apabila kemudahan penapisan minyak di rantau Teluk Parsi terganggu akibat konflik.

“Dalam konteks ini, kerajaan Malaysia berdepan dilema antara mengekalkan kestabilan harga dengan menjaga kedudukan fiskal negara.

Subsidi bahan api seperti diesel membantu mengekang kenaikan harga, namun meningkatkan beban kewangan kerajaan.

“Pada masa yang sama, kenaikan harga bahan api akan mencetuskan inflasi berasaskan kos, iaitu apabila kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran meningkat.

“Kesan ini akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Haziq menjelaskan negara Asia merupakan antara yang paling bergantung kepada Selat Hormuz.

China, Jepun, Korea Selatan dan India masing-masing bergantung pada laluan ini untuk memenuhi keperluan tenaga mereka.

Namun, beberapa negara Asia sudah mula berurusan dengan Rusia untuk mendapatkan bekalan minyak.

Hal ini tidak semudah yang disangka kerana Rusia merupakan negara yang dikenakan sekatan ekonomi di peringkat global.

Hanya negara besar seperti China dan India yang tidak mudah akur terhadap sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Rusia.

Bagi negara kecil yang kurang berpengaruh, mereka cenderung untuk mengelakkan import minyak dari Rusia, apatah lagi urusan perdagangan minyak lazimnya menggunakan mata wang petrodolar.

Tambah Dr Haziq, bagi negara yang membeli minyak dari Rusia pula, mereka menggunakan mata wang yuan (China) sebagai medium pertukaran.

Namun, masih tiada negara yang mampu menggantikan Arab Saudi dalam menyediakan bekalan minyak yang stabil dan dalam kuantiti yang besar.

Kebergantungan tinggi ini, ujarnya, mendorong negara tersebut mengambil langkah mitigasi seperti meningkatkan rizab petroleum strategik, mempelbagaikan sumber import dan memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara pengeluar.

Namun, langkah ini hanya mampu mengurangkan risiko, bukan menghapuskannya sepenuhnya.

“Dalam kalangan negara membangun pula, Filipina merupakan antara yang paling terdedah.

Kebergantungan hampir sepenuhnya pada import minyak menjadikan negara tersebut sangat sensitif terhadap sebarang gangguan.

“Hal ini menunjukkan tahap kerentanan sesebuah negara sangat bergantung pada struktur tenaga dan keupayaan simpanan strategiknya,” tambah beliau.

Lebih penting lagi, konflik geopolitik terus mengukuhkan kepentingan strategik Selat Hormuz.

Laluan perkapalan yang sempit menjadikannya mudah terdedah kepada gangguan sama ada akibat konflik, sekatan atau ancaman keselamatan.

“Akibatnya, ketegangan geopolitik di sekitar Selat Hormuz berpotensi mencetuskan krisis ekonomi global.

Apabila bekalan minyak terganggu, harga akan meningkat dengan cepat dan memberi kesan kepada pelbagai sektor,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau menegaskan kesan ini turut merebak ke sektor pertanian.

Pengeluaran baja yang bergantung pada gas asli akan menjadi lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos makanan dan menyumbang kepada inflasi global.

Harga tenaga yang tinggi menjadi pendorong utama kenaikan ini, dengan harga gas menyumbang sehingga 90 peratus daripada kos pengeluaran ammonia dan nitrogen.

Bagaimanapun, alternatif kepada laluan Selat Hormuz adalah terhad.

Saluran paip darat hanya mampu menampung sebahagian kecil daripada jumlah aliran minyak global.

Sehubungan itu, usaha mempelbagaikan sumber import juga berdepan dengan kekangan dari segi kapasiti pengeluaran dan faktor geopolitik.

Dari perspektif kemanusiaan pula, masyarakat di sekitar Selat Hormuz turut merasai kesan langsung daripada ketegangan geopolitik.

Aktiviti perikanan dan pelabuhan terjejas, manakala keselamatan harian semakin terancam.

Lebih membimbangkan, jelas beliau, gangguan di laluan ini juga boleh menjejaskan bekalan makanan dan air di rantau teluk yang bergantung pada import dan penyahgaraman air laut.

Dalam perkembangan semasa, krisis tenaga global menunjukkan betapa rapuhnya sistem tenaga dunia yang bergantung pada laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Tambahan pula, serangan terhadap infrastruktur tenaga bukan sahaja menjejaskan pengeluaran, tetapi juga berpotensi mencetuskan konflik yang lebih besar.

Secara keseluruhannya, Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan, tetapi merupakan nadi utama kepada ekonomi global.

Ketegangan di kawasan ini memberi kesan langsung terhadap harga tenaga, inflasi dan kestabilan ekonomi dunia.

Kesimpulannya, selagi dunia masih bergantung pada minyak dan gas sebagai sumber utama tenaga, Selat Hormuz akan terus menjadi titik kritikal yang menentukan hala tuju ekonomi global.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU