PUSA: Kerajaan Persekutuan digesa menyelesaikan isu kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata, pihak sekolah dengan bilangan guru yang tidak dapat menampung jumlah murid yang sepatutnya, berhadapan cabaran sukar.
“Saya rujuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa yang ada 431 murid, sedangkan bilangan guru cuma 28 orang… saya difahamkan oleh Guru Besar Ramaini Alek, mereka memang sangat berharap kerajaan dapat memenuhi kuota yang ditetapkan.
“Ini kerajaan harapan pihak sekolah dan ibu bapa amat tinggi dalam aspek kemenjadian murid.
“Termasuk saya sendiri yang mempunyai aspirasi tersendiri, untuk melihat pendidikan mampu menjamin masa depan anak-anak.
“Justeru, saya berharap Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat mampu menyelesaikan isu kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Pra-Gawai Sekolah Kebangsaan (SK) Pusa dekat sini, kelmarin.
Beliau menzahirkan rasa yakin dengan komitmen guru sangat tinggi walaupun berhadapan kekurangan guru di sekolah.
“Apabila sekolah ada komitmen tinggi, saya minta ibu bapa juga dapat memberikan komitmen yang jitu.
“Bersama kita ubah pemikiran lapuk memandangkan cabaran hari ini luar biasa berbanding dahulu.
“Justeru sebagai sokongan kepada SK Pusa, saya menyumbang RM10,000 kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan aktiviti kemenjadian murid,” ujarnya.
Shafizan mengingatkan dana tersebut agar tidak digunakan oleh PIBG untuk membuat baju batik atau mengadakan lawatan.
Beliau turut berharap agar ibu bapa dapat membantu pihak sekolah mendidik anakanak di rumah terutama dalam pembentukan peribadi dengan menunjukkan suri teladan yang baik supaya sahsiahnya baik.
Berhubung permohonan untuk projek fizikal katanya, perlu dimaklumkan kepada pihak kementerian atau Pejabat Pendidikan Daerah, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Insya-Allah permohonan boleh dibincangkan, namun harus mengikuti SOP yang digariskan kementerian atau PPD,” tambahnya.