
SIBU: Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing menggesa agensi berkaitan menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang sudah lama membelenggu penduduk di Sibu Jaya.
Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab agensi berkaitan untuk membawa penduduk keluar dari situasi yang menyedihkan itu dengan cekap dan bertanggungjawab tanpa berlengah lagi.
“Tarikh akhir yang dijanjikan untuk menyelesaikan isu ini adalah Julai lalu, dan sekarang ia telah berlalu.
“Penduduk di kawasan ini masih hidup dalam kesengsaraan kerana kekurangan air seterusnya menyebabkan ramai yang terpaksa mengadu perkara tersebut secara terbuka,” tegasnya.
Rentetan itu bagi mendapatkan penjelasan, Tiong telah membangkitkan perkara berkenaan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri yang diadakan oleh Unit Pemantauan Pelaksanaan Pejabat Premier Sarawak, Khamis lalu.
“Dalam mesyuarat itu didedahkan bahawa sebelum ini Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) tidak dapat menyediakan rangkaian bekalan air bagi tempoh yang ditetapkan atas masalah teknikal.
“Akibatnya, penduduk Sibu Jaya hingga ke hari ini masih mengalami kesulitan akibat kekurangan bekalan air yang berterusan,” ujarnya.
Justeru katanya, JBALB memberi jaminan semasa mesyuarat itu masalah teknikal berkaitan pelaksanaan rangkaian sedang diatasi secara progresif dan dijangka dapat diselesaikan pada akhir bulan ini.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berharap semua agensi yang bertanggungjawab untuk segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air di Sibu Jaya.
Terdahulu pada Rabu, penduduk rumah pangsa Sibu Jaya melakukan protes terhadap pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah air yang melanda kediaman mereka termasuk seluruh Sibu Jaya sejak 13 tahun lalu.
Protes secara aman itu diketuai oleh Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Jaya Danggang Ugik.
Menurutnya, tiada apa yang hendak diperkatakan lagi melainkan menggesa pihak berkenaan mempercepatkan kerja-kerja penyelesaian masalah air di Sibu Jaya.
“Tidak ada kata-kata lain lagi untuk diluahkan kerana masalah ini sudah terlalu lama tanpa penyelesaian jangka panjang. Kami sengsara, berapa lama lagi kami hendak tunggu,” tegas beliau.
Difahamkan masalah air yang tidak stabil dan tekanan rendah itu sering berlaku pada waktu pagi dan malam sehinggakan paip langsung tidak mengeluarkan air di sebuah tempat.