KUCHING: Dua lelaki tempatan dicekup ketika cuba menyeludup sebanyak 200 buah tong gas melalui jalan gajah berhampiran ladang Empaling, Stass kira-kira jam 6 petang, pada Rabu.
Kegiatan suspek masing-masing berumur 23 dan 36 itu dikesan oleh anggota rondaan Operasi Awas/Keris tentera darat selepas melihat dua buah kenderaan tampak mencurigakan cuba memasuki kawasan sekitar 600 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan berkata, pasukan operasi bertindak menahan dua kenderaan terbabit iaitu lori jenis 2.5 tan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dipercayai cuba menyeludup barangan berupa tong gas ke Indonesia melalui jalan tidak sah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM141,700,” kata kenyataan itu.
Susulan rampasan, suspek bersama-sama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tujuan tindakan lanjut.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu menegaskan tentera darat akan terus komited mengawal keselamatan dengan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) mahupun sebarang bentuk rentas sempadan berlaku.



