KUCHING: Seluruh negara turut berduka atas pemergian Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan sosok negarawan terbilang, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq.
Menurutnya, Allahyarham bukan sahaja telah banyak menyumbang khidmat serta pembangunan untuk Sarawak, tetapi juga seluruh Malaysia sepanjang lebih 60 tahun
“Malah kita dapat lihat seluruh rakyat amat menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham dengan masing-masing menzahirkan ucapan takziah dari semalam sehingga hari ini tanpa putus-putus.
“Jadi kita berharap dengan ketokohan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai itu, ia akan terus kekal segar dalam ingatan rakyat.
“Di samping menjadi inspirasi kepada barisan pemimpin sedia ada sekarang untuk terus memajukan negara demi masa hadapa yang lebih baik,” katanya.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Taib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Sarawak atas kehilangan permata negara yang merupakan tokoh hebat tiada galang ganti.
Allahyarham memulakan perkhidmatan awam pada usia muda apabila menjadi ahli Kabinet negeri pertama selepas Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.
Pada 1966, Allahyarham berpindah ke peringkat Persekutuan dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan menteri dalam Kerajaan Pusat.
Untuk rekod, Tun Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri ketujuh pada 1 Mac 2014 sehingga 26 Januari 2024. Kemudian diganti oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah jawatan ketua negeri itu pada 29 Januari lalu.



