Semai semangat cinta akan rumah panjang

Insiden kebakaran rumah panjang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, terbaru melibatkan 44 penghuni 22 pintu Rumah Annie Willian di Kampung Semawa Pantu, Sri Aman, empat hari menjelang Gawai Dayak.

Mengapakah kejadian menyedihkan ini terus berlaku walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan?

Memetik laporan Utusan Online pada 19 April, empat kes kebakaran melibatkan rumah panjang di Sarawak sejak awal 2019.

Manakala insiden terbaru lewat Mei menjadikan angka kemusnahan kebakaran rumah panjang meningkat kepada lima kes.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Sarawak, 798 penghuni terjejas dengan tambahan 44 orang menjadikan jumlah mangsa mencapai 842 orang.

Kejadian dilaporkan turut melibatkan 112 pintu rumah di lima rumah panjang iaitu Rumah Chandi, SK Sungai Tau, Uma Bawang di Sungai Asap, Rumah Umpang di Ulu Bauh Celon, Selangau, Rumah Panjang Buyong, Jalan Lidong, Betong dan Rumah Annie William di Semawa Pantu, Sri Aman, Sarawak.

Laporan turut menyebut beberapa kawasan terlibat diberikan alat pemadam api namun hanya di Rumah Chandi, SK Sungai Tau, Selangau sahaja tiada sebarang program kesedaran kebakaran dilaksanakan sehingga menyebabkan satu orang kelainan upaya (OKU) maut dan seorang cedera lain dalam kejadian kebakaran tersebut.

Tahap kesedaran tinggi melibatkan insiden kebakaran kediaman harus dipupuk terutama dalam kalangan penghuni rumah panjang.

Menurut laporan berita Sinar Harian, 19 April 2019, rumah panjang pertama terbakar di Sarawak pada 2019 ialah Rumah Buyong, di Betong tetapi tiada kerosakan teruk kerana api sempat dipadamkan penghuni.

Kebakaran kedua berlaku 14 April melibatkan Rumah Chandi di Sungai Tau, Selangau yang mengakibatkan 230 penghuni terjejas.

Hilang Tempat Tinggal

Sehari selepas itu, 407 penghuni Uma Bawang di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga hilang tempat tinggal apabila dua blok rumah panjang musnah dalam kebakaran dan seorang wanita warga emas melecur di bahagian belakang.

Sejarah terburuk insiden kebakaran rumah panjang di Sarawak selepas Rumah Umpang di Ulu Bauh Celon, Selangau ranap pada 18 April menjadikan tiga kemusnahan berlaku dalam seminggu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Khirudin Draman berkata, berlaku 27 kes kebakaran rumah panjang pada 2018 serta 25 kes 2017 dan 26 kes pada 2016.

Kebanyakan kes berlaku di utara Sarawak melibatkan rumah panjang berusia 25-30 tahun.

Menurut kajian, 50 peratus daripada kebakaran itu berpunca akibat lambat sedar, 30 peratus daripada dapur rumah dan 20 peratus disebabkan penggunaan peralatan elektrik serta kanak-kanak bermain mancis.

Adakah kita tidak belajar daripada kejadian yang lepas-lepas? Semakin moden kehidupan kita, semakin moden rumah panjang kita, semakin ramai penghuni rumah panjang yang berpendidikan, semakin kerap pula kebakaran rumah panjang berlaku.

Setiap kejadian kebakaran sesebuah rumah panjang, kerugiannya bukan sedikit kerana insiden ngeri itu melibatkan lebih 20 keluarga.

Harta yang diwarisan dari generasi terdahulu dan harta benda dikumpul bertahun-tahun lamanya, ibarat sedikit-sedikit lama- lama jadi bukit – menjadi abu sekelip mata dimamah api. Kebanyakan rumah panjang memiliki generator dan membuat sistem pendawaian sendiri menimbulkan kekhuatiran pendawaian yang dibuat berbahaya dan terdedah kepada punca kebakaran. Wayar disambung pelbagai cara ini antara penyebab utama berlaku kebakaran di rumah panjang.

Kecuaian Memasak

Satu lagi punca kebakaran rumah panjang ialah kecuaian semasa memasak di dapur.

Ruang dapur biasanya terletak di bahagian belakang rumah dan agak jauh.

Apabila kaum ibu di rumah panjang menjerang air dan memasak, mereka biasanya melunaskan kerja lain sementara menunggu air atau makanan masak.

Malangnya, ramai yang leka sehingga terlupa menjenguk semula dapur, bahkan ada yang tertidur dan apabila sedar kebakaran sudah pun berlaku.

Rasa cinta akan rumah panjang harus disemai kukuh dijiwa setiap penghuni dan jika bukan kita yang menjaga rumah panjang kita, siapa lagi?

Beringatlah akan susah payah kita bekerja membanting tulang empat kerat mendapatkan wang membina rumah panjang.

Cara terbaik mengatasi isu ini dalah setiap penghuni harus berganding bahu menjauhi perbuatan yang dapat memusnahkan sesebuah rumah panjang.

Rasa kasih sayang dan disiplin setiap penghuni tanpa mengira usia mampu menyelamatkan sesebuah rumah panjang daripada insiden kebakaran.

Jika tidak, kita terus dihantui kejadian kebakaran rumah panjang yang tidak berkesudahan.

Ingatlah, setiap kebakaran itu memang mengakibatkan kemusnahan. Sampai bilakah kita mahu menanggung derita dan sengsara akibat semua ini?

Jika kita berjaya menyemai nilai kasih sayang ke atas rumah panjang ini dalam jiwa setiap penghuni, masalah kecuaian yang meng- akibatkan kebakaran ini mungkin dapat diminimumkan.

Penghuni rumah panjang yang sayangkan rumah panjang berusaha sedaya upaya memastikan kediaman mereka indah dan selamat daripada sebarang ancaman.

Jika semua penghuni rumah panjang mementingkan sikap berdisiplin, insiden sebegini akan dapat kita atasi.

Kasih sayang melimpah terhadap rumah panjang sendiri mampu membangkitkan semangat memelihara serta mengeratkan silaturahim sesama penghuni.