BANDAR SERI BEGAWAN: Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2025 menyemai semangat serantau dengan menjadikan warisan makanan dan budaya sebagai jambatan merapatkan hubungan dua hala antara Sarawak dengan Brunei Darussalam.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program julung kali ini dianjurkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) bagi mengetengahkan produk makanan, kraf tangan dan persembahan budaya dari kedua-dua negara.

“Berlangsung selama dua hari, dari 2 hingga 3 Ogos, program ini menghimpunkan sebanyak 38 syarikat iaitu 20 dari Sarawak dan 18 dari Brunei yang membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara agensi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2025, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Sarawak dan Brunei berkongsi kekayaan budaya seperti makanan, pakaian, kesenian dan nilai kekeluargaan, mencerminkan kekuatan dalam kepelbagaian etnik yang harmoni dan bertoleransi.
“Budaya menyatukan rakyat, dan ia merentasi sempadan.
Dalam dunia hari ini yang penuh cabaran, program seperti ini penting untuk memupuk keharmonian dan menyemarakkan semangat serantau di Borneo.
“Dari segi kulinari kita berkongsi makanan tradisional seperti ambuyat, kelupis, nasi aruk, linut, umai, manok pansoh serta pelbagai jenis kuih-muih dan di acara ini, cef dari Sarawak akan menyajikan mi kolok, mi jawa, kampua, laksa Sarawak, cendol Limbang, sambal tahai Lawas dan banyak lagi untuk dinikmati semua.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan dagangan antara Sarawak dengan Brunei telah mencecah RM3.39 bilion, melibatkan produk seperti bahan api mineral, makanan haiwan, perkakasan mesin dan produk plastik.
“Sarawak amat bertuah berkongsi sempadan dengan Brunei Darussalam, sebuah negara yang maju dan makmur yang memberi kelebihan kepada kita untuk membina hubungan kukuh antara kerajaan (G2G), sektor perniagaan (B2B) dan rakyat (P2P).
Tambahnya, Sarawak akan terus bekerjasama dengan Brunei dalam mempromosikan program pelancongan bersama dan meletakkan Borneo sebagai destinasi pelancongan serantau dengan memanfaatkan Lapangan Antarabangsa Brunei sebagai hab penerbangan di rantau ini.
“Di wilayah utara Sarawak, kita akan mengintegrasikan infrastruktur jalan raya dengan Brunei melalui Lebuhraya Pantai Utara (Northern Coastal Highway – NCH) sepanjang 87.96km yang menghubungkan ICQS Tedungan–Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap–Merapok (Lawas).
“Pembinaan dijadual bermula pada suku ketiga 2025, dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Awang Tengah juga mengumumkan bahawa STATOB akan membuka pejabat baharu di Pontianak dan Abu Dhabi bagi mengukuhkan lagi jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa.






