MIRI: Kerajaan Sarawak akan menghantar cadangan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk menyemak semula persempadanan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan SPR telah memaklumkan kepada Sarawak kemungkinan untuk melakukan semakan terhadap sempadan DUN di negeri ini.
Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, jumlah DUN yang terlibat dalam semakan tersebut belum ditetapkan.
“Kita akan berunding dengan SPR, tengok apa cadangan mereka.
Ini kerana ia membabitkan semua parti, bukan GPS sahaja.
“Seterusnya, pihak SPR akan mengkaji cadangan tersebut dan memberi keputusan terhadap cadangan kita,” ujarnya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Untuk rekod, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan pada 1 Januari 2024 berkata SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan di Sarawak.
Katanya, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau DUN.
Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya salah pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Hadir sama semalam ialah isteri Premier Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg serta dif-dif kenamaan yang lain.



