Semangat baharu atlet Sarawak

KEBENARAN berlatih untuk hampir semua jenis sukan sejak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan amat melegakan para atlet dan jurulatih, setelah hampir 100 hari berehat.

Sektor sukan di Sarawak dibuka semula pada 17 Jun lalu, manakala di Semenanjung bermula 15 Jun dengan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak tersebut, sekali gus mengutamakan keselamatan atlet.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembukaan semula kompleks sukan dapat menyuntik semula semangat para atlet Sukma Sarawak dalam membuat persiapan ke temasya Sukma di Johor pada Mac 2021.

Bagi sukan yang memerlukan latihan di kompleks sukan, sudah pasti berita tersebut memberi kelegaan kepada jurulatih dan atlet kerana perlu meningkatkan kemahiran lebih-lebih lagi atlet kebangsaan yang bakal beraksi dalam Sukan Olimpik 2021 di Tokyo.

Selain itu, pembukaan sektor sukan juga memberi nafas lega kepada pemilik pusat gimnasium apabila mereka turut terkesan dan perlu menutup premis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi jaguh bina badan negara Buda Anchah kebenaran pembukaan semula pusat gimnasium beliau di Sri Aman amat melegakan kerana ramai atlet di kawasan berkenaan dapat kembali berlatih.

Malah ada juga pusat gimnasium yang terpaksa ditutup terus kerana tidak mampu menanggung kos kerugian. Hari pertama latihan, menyaksikan ramai atlet berkongsi perasaan teruja, kembali berlatih di pusat latihan dan menyifatkan seperti hari pertama kali berlatih bersama-sama jurulatih.

Bagi ketua jurulatih skuad bola sepak Sukma Sarawak, Ahmad Fairuz Yunus, anak-anak buahnya begitu gembira dan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang latihan.

“Terdapat juga pemain yang termuntah-muntah semasa sesi latihan dan terpaksa direhatkan dahulu serta dinasihatkan untuk berlatih dengan pelatih kecergasan,” ujar Fairuz.

“Untuk latihan fasa pertama kita perlu meningkatkan stamina pemain terlebih dahulu dan secara perlahan-lahan menggilap semula kemahiran mereka,” katanya. Sukan olahraga di bawah kendalian ketua jurulatih Olahraga Sukma Sarawak, Watson Nyambek turut berkongsi gembira.

Katanya, prestasi atlet agak menurun dari segi kepantasan larian semasa hari pertama latihan. Ini kerana, latihan dari rumah hanya dapat mengekalkan stamina, tetapi sukar untuk menilai tahap kepantasan pemain.

Manakala, pemain muda bola sepak kebangsaan, Alan Lagang mengakui latihan hari pertama agak sukar kerana telah lama berehat daripada latihan dan perlawanan.

Pemain di posisi penyerang pasukan, Sarawak United FC itu yakin dapat mengembalikan kecergasan dan momentum permainan dalam masa yang singkat dengan penjagaan pemakanan, rehat yang cukup dan minum air secukupnya.

Oleh itu, kerjaya sebagai ahli sukan memerlukan komitmen yang tinggi untuk mengekalkan tahap kecergasan fizikal, di samping mengekalkan momentum permainan mereka dalam sukan yang diceburi.

Tempoh rehat yang terlalu lama ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan prestasi kebanyakan atlet menurun, sekali gus merencatkan persiapan. Yang pasti, inilah masa terbaik bagi atlet untuk membuktikan dengan kesungguhan dan komitmen yang tinggi sepanjang sesi latihan.

Kembali ke padang latihan selepas tiga bulan lebih ‘berkurung’ di dalam rumah pasti akan menyemarakkan semangat mereka untuk mengembalikan prestasi asal. Malah inilah peluang terbaik bagi mereka untuk meningkatkan lagi prestasi hingga lebih tinggi daripada sebelum PKP.

Suara Sarawak