Semangat membaca anak pedalaman

SAYA mendengar kisah ini daripada seorang guru pada 2019.

Guru tersebut enggan dikenali.

Tetapi cukuplah saya nyatakan namanya sebagai Cikgu Maria (bukan nama sebenar) dan mengajar di sebuah sekolah luar bandar.

Sekolahnya terletak hampir 40 kilometer dari bandar Sri Aman.

Cikgu Maria mengajar tahun satu. Suatu hari saya berkesempatan bertemu dengannya dan kami bertanya khabar, kebetulan memang rakan dalam bidang yang sama.

“Cikgu Emmet, saya nak share satu cerita yang membuatkan saya insaf dengan kisah kehidupan masyarakat. Kisah anak murid saya cikgu,” jelas Cikgu Maria.

Saya pun tidak sabar untuk mendengar cerita anak muridnya.

Kisahnya bermula daripada Program Ziarah Cakna, kebetulan pula Cikgu mendapat giliran untuk program tersebut bersama-sama dua orang guru di kawasan rumah panjang, sekitar 25 km dari sekolah.

Rumah yang dikunjungi ialah rumah seorang murid Iban tahun satu, bernama Alycia (juga bukan nama sebenar).

Bagi memudahkan navigasi ke rumah Alycia, Cikgu Maria menawar untuk membawa Alycia pulang dari asrama pada Jumaat.

Perjalanan menuju ke rumah Alycia agak jauh dan melalui jalan tanah dan berbatu.

Dengan hanya memandu kereta Viva, Cikgu Maria terus meredah jalan tanah merah yang kering.

“Jauh lagi rumah kamu Alycia? “ tanya Cikgu Maria. “ Agi sigu…” jawab Alycia.

Sudah tiga buah rumah panjang dilalui tetapi masih belum sampai ke destinasi.

“Jauh mai rumah dek.. “ rungut Cikgu Maria…

“Enda sigu… depan nyin agi, “ jelas Alysia.

Tidak lama kemudian sampailah mereka di rumah kayu bertiang di kawasan tanah lot.

Ternyata Alycia bukan tinggal di rumah panjang.

Ada beberapa rumah lain di sekitar rumah Alycia. Ibu Alycia menjemput Cikgu Maria dan rakan masuk.

Cikgu Maria membawa hamper untuk diberikan kepada keluarga Alycia.

Di sudut kanan rumah ada katil dan terlantar seorang tua yang lemah.

“Itu datuk saya…, “ kata Alycia. Ternyata Ziarah Cakna hari itu amat bertepatan.

Keluarga Alycia memang miskin dan telah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tambahan pula Alycia mempunyai adik yang masih kecil.

Bapanya berkerja sebagai buruh di Kuching. Rumah tempat mereka berteduh sekadar mempunyai kemudahan asas.

Tiada televisyen, tiada radio. Namun, Alycia seorang murid yang rajin walaupun masih belum lancar membaca.

Usai beramah mesra dengan keluarga Alycia dan memberi kata-kata perangsang dan sedikit buah tangan, Cikgu Maria meminta diri untuk pulang.

Tiba-tiba Alycia bertanya, “Sigu… ari satu ila bisi urang berjual buku ba sekolah? “ kata Alycia sambil menunjukkan flyers jualan buku yang akan dijual di kedai buku dari Kuching di sekolah pada Isnin.

“Auk.. Bisi..” angguk Cikgu Maria mengiakan pertanyaan Alycia.

Mungkin sekadar bertanya sahaja fikir Cikgu Maria.
Pada Isnin, Cikgu Maria mengajar Bahasa Melayu di kelas Alycia, tiba-tiba pengawas datang.

“Cikgu, sekarang giliran kelas tahun satu melihat pameran buku,” kata pengawas.

Cikgu Maria menyusun murid-murid berbaris, ada yang memegang borang serta wang untuk membeli buku pilihan mereka.

Harga buku pun tidaklah mahal, malah ada yang berharga semurah RM2 senaskhah bagi buku cerita yang nipis.

“Sigu… mahalkah harga bukunya sigu..? “ tanya Alycia…sambil membuka lipatan flyers borang pameran buku.

Sayu juga hati Cikgu Maria mendengar pertanyaan Alycia.

“Kamu ada bawa duit ke? “ tanya Cikgu Maria. “Ada gu… Tok duit aku gu..” kata Alycia sambil meletak kepingan syiling 10 sen, 20 sen dan beberapa syiling 5 sen.

Jumlah kesemuanya baru 90 sen. Cikgu Maria mengalih pandangan ke tingkap.

Menyembunyikan air mata yang bertakung. “Ya Allah… begitu berusaha anak kecil yang miskin ini mengumpul duit untuk membeli buku,” getus hati Cikgu Maria sambil mengesat air matanya.

Cikgu Maria menoleh semula ke arah Alycia. “Kamu nak buku yang mana? Nanti cikgu belikan untuk kamu ya, duit kamu tu kamu simpan. Cikgu belanja kamu buku,” terang Cikgu Maria sambil memegang kepala Alycia.

“Amat gu… Terima kasih guuu…” kata Alycia kegembiraan. Sebelum waktu sekolah tamat, Cikgu Maria bertemu penjual buku yang sedang menyusun buku untuk pulang.

Cikgu Maria membeli beberapa buah buku.

Esoknya Cikgu Maria memanggil Alycia, “Alycia… ini buku kamu. Kamu janji dengan cikgu kamu baca sampai habis ok? Sigu”

Itu sahaja yang diluahkan oleh Alycia sambil memeluk buku-buku yang diberikan.

“Sigu” kata Alycia lagi, “ye kenapa..? “ tanya Cikgu Maria.

“Terima kasih gu” sambung Alycia sambil berlari kegirangan. Secara tidak sedar saya yang mendengar kisah Cikgu Maria mengundang rasa sebak di hati.

Namun itulah hakikat guru-guru yang mengajar di pedalaman dan luar bandar. Guru-guru pasti bertemu kisah anak-anak yang penuh dengan inspirasi tentang nilai kemanusiaan dan kekuatan semangat untuk terus belajar mencari ilmu.

Di sini walaupun dalam kemiskinan mereka sanggup membeli sebuah buku kecil yang nipis asalkan ada sisa ilmu tetap mengalir dalam tubuh dan minda.

Semoga anak-anak pedalaman ini terus gigih mengubah nasib menjadi generasi yang intelek dan membela nasib masyarakat kampung untuk menjadi lebih maju.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.