DI Malaysia, kebanyakan bandar yang awal terbina adalah di pinggir laut atau di muara sungai.
Semua masyarakat di dunia menggunakan jalan air.
Sejak zaman dahulu lagi jalan air menjadi jalan utama.
Pengangkutan air adalah kedua terpenting selepas pengangkutan darat.
Nenek moyang kita juga menggunakan jalan air ini untuk berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan alat pengangkutan purba.
Jalan air yang paling popular digunakan pada zaman dahulu adalah sungai.
Sungai-sungai ini berperanan menghubungkan kawasan hulu dan hilir dan digunakan untuk berdagang.
Selain pengangkutan dan perdagangan, laluan air juga digunakan untuk aktiviti pertandingan seperti sukan air yang masih dilaksanakan hingga kini.
Sukan air menjadi penting dalam warisan budaya dunia.
Antara acara sukan air yang membanggakan, Regata Sarawak dikenali sebagai salah satu yang tertua di dunia.
Regata Sarawak yang berpusat di Kuching diadakan sejak 1872.
Asalnya dianjurkan sebagai perayaan Hari Kemerdekaan Queen Victoria oleh penjajah British.
Acara ini berkembang menjadi acara tahunan menampilkan perlumbaan perahu tradisional Sarawak, yang dikenali perahu panjang yang mempunyai sejarah panjang dalam budaya peribumi Sarawak.
Perahu ini dibina dengan teliti menggunakan kayu keras dan dihiasi seni ukir tradisional.
Keindahan perahu ini adalah simbol kesenian dan kepandaian tempatan.
Regata Sarawak juga menarik penyertaan pelbagai etnik yang mendiami Sarawak.
Ini menggambarkan penyatuan masyarakat tempatan melalui sukan air yang mesti dijaga.
Seiring berlalunya masa, Regata Sarawak berkembang menjadi satu acara lebih besar dan meriah.
Penganjuran tahunan menjadi daya tarikan utama peminat sukan air dari seluruh dunia.
Ramai yang menantikan acara ini setiap tahun.
Kini, ia merangkumi pelbagai kategori sukan air seperti perahu naga, perahu panjang dan perahu layar.
Peserta tidak lagi terhad kepada penduduk tempatan, malah semakin banyak negara luar menghantar pasukan untuk bersaing dalam regata ini.
Antara faktor Regata Sarawak menarik penyertaan negara luar adalah kecantikan alam semula jadi Sarawak yang memukau, terutamanya sepanjang lokasi acara diadakan di Sungai Sarawak yang menawarkan pemandangan menakjubkan.
Selain itu, kecanggihan dan kemajuan dalam penyelenggaraan acara juga memikat lebih ramai peserta antarabangsa.
Regata Sarawak menjadi platform hebat bagi atlet dan peminat sukan air dari seluruh dunia berinteraksi, berkongsi pengalaman dan memupuk perpaduan melalui sukan air.
Sarawak juga mempunyai kekayaan budaya yang unik, dan Regata Sarawak memberi peluang untuk mempromosikan warisan budaya tempatan kepada dunia. Melalui pertunjukan seni tradisional, makanan tempatan dan pameran seni, peserta luar negara dapat merasai kepelbagaian budaya Sarawak.
Dengan usaha meningkatkan taraf penyelenggaraan dan penyertaan negara luar, Regata Sarawak akan terus memikat minat peminat sukan air dari pelbagai negara.
Ini tidak hanya memberi peluang kepada Sarawak memperkukuhkan hubungan antarabangsa tetapi juga mewujudkan platform sukan air berprestij di rantau ini.
Regata Sarawak bukan sekadar sukan air, Ia ungkapan budaya dan semangat
masyarakat Sarawak.
Ia aset yang perlu dijaga dan diteruskan kepada generasi akan datang.
Melalui acara ini, kita tidak hanya merayakan sejarah sukan air, tetapi juga mengenali kepelbagaian etnik dan budaya di Sarawak.
Regata Sarawak bukan hanya perayaan warisan sukan air, tetapi juga simbol kesatuan dan kebanggaan masyarakat Sarawak.
Dengan terus-menerus menganjurkan acara ini, kita memastikan warisan ini akan terus dikekalkan, menghubungkan masa lalu dengan masa depan dan menyatukan masyarakat Sarawak dalam semangat sukan air.



