WANITA IKRAM Bintulu berjaya menganjurkan program Jom Berambeh pada hujung minggu lalu dengan penyertaan seramai 25 peserta, terdiri daripada ahli wanita dan kanak-kanak.
Program santai itu bertujuan mengukuhkan hubungan sesama ahli selain menyediakan ruang pengisian rohani.
Program berkenaan dimulakan dengan sesi tadabbur Surah al-‘Asr yang dipimpin fasilitator.
Peserta dibimbing memahami mesej utama surah tersebut, termasuk kepentingan memanfaatkan masa, beramal soleh serta saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran.
Sesi itu turut membuka ruang muhasabah kepada peserta sebagai permulaan program.
Pengisian bertajuk Nikmat Ukhuwah yang disampaikan Nurul Sakinah turut menjadi antara pengisian utama.
Beliau menekankan bahawa persaudaraan dalam Islam merupakan anugerah yang perlu dipelihara melalui kasih sayang, sikap saling membantu serta mengelakkan perselisihan.
Peserta turut diingatkan bahawa ukhuwah bukan sekadar mengenali, sebaliknya menuntut usaha memperbaiki diri secara bersama dan saling menyokong dalam kebaikan.
Bagi menceriakan suasana, beberapa permainan berkonsepkan ukhuwah dijalankan bagi menggalakkan kerjasama, komunikasi dan interaksi antara peserta.
Aktiviti tersebut menghidupkan suasana dengan gelak tawa dan sorakan yang memenuhi ruang sepanjang program.
Secara keseluruhan, program Jom Berambeh mencapai objektif penganjurannya dalam mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli Wanita IKRAM Bintulu.
Penganjur berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan membina komuniti wanita Muslimah yang kukuh dan saling menyokong.



