SELESAI solat maghrib petang ini, takbir bergema memecah kesunyian senja.
Suasana yang penuh syahdu menyelimuti hati setiap seorang umat Islam yang merayakan Aidiladha, yang bukan perayaan biasa.
Aidiladha mengajak umat Islam menelusuri makna pengorbanan yang sebenar.
Satu nilai yang menjadi asas keimanan, ketakwaan dan kemanusiaan umat Islam sejak dahulu hingga kini dan buat selama-lamanya.
Aidiladha mengangkat kisah agung Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s., yang diuji dengan perintah Allah untuk mengorbankan anak yang amat disayangi. Ini kisah pengorbanan agung seorang bapa dan seorang anak demi ketaatan dan keimanan.
Daripada kisah itu, lahir ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun hingga ke saat ini. Tahun ini, ibadah ini akan dilaksanakan bermula esok 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah.
Sebab itu, Hari Raya Aidiladha juga sinonim dengan gelaran Hari Raya Korban.
Ia turut dikenali sebagai Hari Raya Haji kerana umat Islam menunaikan ibadah haji di Makkah pada bulan ini.
Satu lagi pengorbanan manusia kepada Allah SWT.
Korban bukan sahaja bermaksud mengorbankan (menyembelih) binatang ternakan seperti kambing, lembu atau unta, tetapi lebih lagi daripada itu.
Lebih penting lagi “menyembelih” segala sikap tidak baik manusia.
Antaranya keegoan, keinginan diri yang tidak munasabah, juga kepentingan peribadi setiap seorang manusia.
Semua ini demi mendapat keredaan Allah SWT.
Dalam dunia yang serba moden ini, pengorbanan hadir dalam pelbagai rupa dan aspek.
Seorang ibu tidak pernah membeli pakaian baharu untuk dirinya bagi memastikan anaknya berpakaian sempurna ke sekolah.
Ada kisah ibu yang melayan larut malam demi menjahit baju anak, walaupun bajunya sendiri koyak tidak berganti.
Ada kisah bapa yang menahan lapar, agar dapur di rumah tetap berasap untuk keluarganya.
Dia rela susah asalkan ada makanan di atas meja untuk anak-anak.
Seorang anak pula rela menangguhkan impian masa depan demi menanggung ibu atau bapanya yang sudah tua.
Ada kisah abang yang rela tidak belajar di universiti demi pendidikan adikberadiknya.
Ada juga kisah petugas kesihatan yang mengorbankan masa cuti untuk bekerja pada hari raya demi menyelamatkan nyawa pesakit di premis kesihatan.
Ada guru di pedalaman yang meredah hutan, lumpur pada setiap hari, demi tanggungjawab serta amanah menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.
Lebih menyentuh hati lagi, ada insan yang mungkin menyimpan sedikit demi sedikit wang selama setahun, bukan untuk melancong atau berbelanja sakan, tetapi untuk membeli seekor kambing bagi melaksanakan ibadah korban.
Ia semata-mata mahu merasai nikmat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Roh pengorbanan
Roh pengorbanan ini harus diserapkan dalam kehidupan masyarakat yang hari ini semakin mementingkan diri dalam banyak aspek, sama ada secara sedar ataupun sebaliknya.
Balik kerja, berhenti sahaja kereta di hadapan rumah, buka pagar, masukkan kereta, kunci pagar, buka pintu rumah, masuk rumah dan kuncikan semula pintu rumah.
Setiap hari sedemikian.
Ini antara sikap mementingkan diri yang dibudayakan masyarakat hari ini.
Tidak diketahui apa-apa yang berlaku di luar rumah.
“Apa nak dipedulikan.
Yang penting jaga rumah sendiri.”
Semangat Aidiladha sepatutnya boleh mengingatkan kita tentang pentingnya empati dan tanggungjawab sosial masyarakat bermula di peringkat kejiranan di kampung atau kawasan perumahan.
Paling mudah, jiran di depan, belakang serta kiri dan kanan rumah kita.
Lambang kepedulian
Ibadah korban bukan sekadar ritual tahunan, tetapi lambang kepedulian masyarakat terhadap fakir miskin, anak yatim, dan mereka yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan dari segi makanan.
Mereka ini yang menerima agihan daging sekurangkurangnya satu kilogram untuk sebuah keluarga.
Selebihnya diagih-agihkan kepada petugas ibadah korban yang biasanya penduduk kampung atau kawasan perumahan yang turut serta menjadi petugas dalam program ibadah korban.
Malangnya, petugas tetap juga orang yang sama.
Setiap tahun, hanya beberapa orang yang hadir, juga orang yang sama yang bergotong-royong melaksanakan ibadah korban.
Yang tidak hadir hanya mengharapkan agihan daging dihantar tepat di depan pintu rumah mereka.
“Turun sik maok, tapi bila sik menerima agihan, bising satu kawasan perumahan.” Ini antara yang biasa didengar.
Mula berkata macam-macam dengan petugas ibadah korban.
“Sidak nya pun yang banyak embak daging pulang…” Sedangkan tanpa diketahui, agihan sudah ditetapkan untuk golongan yang memerlukan.
Aidiladha juga sepatutnya menjadi titik muhasabah diri.
Apakah kita benar-benar sudah berkorban untuk agama, bangsa dan insan di sekeliling kita, termasuk juga di pejabat? Soalan ini hanya kita sendiri yang dapat jawab.
Bukannya orang lain.
Dan juga tidak dapat diwakilkan kepada orang lain untuk memberikan jawapan.
Perayaan ini mengajar kita yang setiap seorang manusia mempunyai sesuatu yang boleh dan dapat dikorbankan.
Antaranya, masa, tenaga, harta (wang) ataupun keinginan demi kebaikan semua.
Pada akhirnya, pengorbanan yang ikhlas tidak akan pernah sia-sia.
Mungkin pengorbanan ini tidak dihargai sesama manusia yang dekat dengan kita, tetapi pastinya bernilai di sisi Allah SWT.
Maka sempena Aidiladha yang kita rayakan esok, biarlah korban kita bukan hanya pada zahirnya, tetapi lahir daripada hati yang benar-benar tunduk dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
Ini masa untuk “menyembelih” semua sikap tidak baik dalam hati dan fikiran kita.
Kerana akhirnya, pengorbanan yang tulus akan kekal hidup selama-lamanya dalam ingatan manusia, dan lebih utama, di sisi Allah SWT.
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pembaca dan kakitangan Suara Sarawak.
Maaf zahir dan batin.



