PENYANYI, komposer dan penulis lagu kelahiran Sarawak, iR Radzi, bakal mengubat kerinduan peminat menerusi konsert sulungnya yang cukup bermakna, Sempurna Waktu iR Radzi Live in Concert, di Wisma Melayu Sarawak, Kuching, pada 21 November depan, jam 8.15 malam.
Persembahan eksklusif ini menjanjikan satu malam yang penuh emosi dan nostalgia buat peminat penyanyi yang pernah popular menerusi lagu-lagu berkonsepkan cinta dan jiwa galau.
Konsert ini dijangka menghimpunkan kira-kira 2,600 penonton menerusi penyediaan zon tempat duduk dan kawasan berdiri bagi memberikan pengalaman persembahan yang lebih dekat dan bertenaga.
Mengulas mengenai perancangan konsert berkenaan, iR Radzi atau nama sebenarnya Mahamud Radzi Jamali mendedahkan bahawa antara tarikan utama persembahannya adalah himpunan lagu runut bunyi (OST) drama televisyen dan filem popular yang pernah mewarnai industri hiburan tanah air, di samping lagu popular semasa serta karya baharunya yang bakal dipersembahkan secara eksklusif.
“Perkara yang menarik ialah kita akan membawakan lagu-lagu OST drama yang mungkin pernah kita dengar dalam drama televisyen dan filem. Selain itu, ada lagu popular semasa, lagu galau dan juga lagu baharu untuk dinikmati secara langsung,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak di pusat beli-belah The Hills baru-baru ini.
Antara himpunan lagu popular yang bakal bergema di Wisma Melayu Sarawak termasuk Aku Jatuh Hati Padamu, Atas Nama Cinta, Sungguh Ku Milikmu, Kau Milikku, Maafkan Aku Cinta serta Kau dan Aku Terus Bersama.

Persembahan pada malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis baharu serta barisan artis jemputan kejutan yang akan diumumkan kemudian bagi melengkapkan persembahan.
Sebagai anak jati Sarawak, iR Radzi berharap masyarakat tempatan di Bumi Kenyalang dapat hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan serta meraiakan perkembangan industri muzik anak tempatan.
“Kami berharap masyarakat di Bumi Kenyalang dapat bersama-sama memeriahkan konsert ini. Ini merupakan konsert sulung kami dan kami mahu berkongsi lagu serta persembahan yang boleh menyentuh hati penonton,” tambahnya.
Menariknya, konsert ini bukan sahaja menjadi pentas hiburan, malah turut membawa misi murni apabila sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan menerusi inisiatif kebajikan bersama pihak penganjur.
Peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan malam penuh kenangan ini boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi laman web rasmi iLasso Tickets atau dengan mengimbas kod QR yang tertera pada bahan promosi rasmi konsert.
Dapatkan tiket anda sekarang dan bersedia untuk menghayati setiap melodi serta mengukir kenangan manis bersama iR Radzi dalam konsert yang dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan di Kuching tahun ini.






