Semua aktiviti keramaian di Dalat ditangguhkan

DALAT: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah yang juga Adun Dalat Datuk Seri Farimah Abdullah memaklumkan bahawa semua aktiviti melibatkan keramaian di kawasan Dalat ditangguhkan sementara waktu.
Jelasnya segala aktiviti melibatkan perhimpunan orang ramai di daerah berkenaan akan ditangguhkan serta-merta bermula semalam.
“Tindakan ini dibuat berikutan kes Covid-19 yang kian meningkat dan merebak dengan cepat iaitu menunjukkan angka 17 semalam di kawasan Dalat.
“Walaupun ia berlaku di rumah panjang dan sekatan jalan raya telah diadakan, semua pihak harus terus sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi segala SOP,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan antara program yang ditangguhkan adalah Program Back To Scool anjuran Pusat Khidmat DUN Dalat di Oya Square dan di Tebingan Sungai Dalat yang dijadualkan berlangsung pada 14 Januari ini.
“Ia juga melibatkan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Oya/Dalat pada 16 Januari ini, aktiviti perniagaan di Pekan Sabtu Oya, BazaarNita dan kiosk belia di Tebingan Sungai Dalat.
“Maka dengan itu ke satu tarikh pembukaan semula aktiviti ini yang akan diumumkan kelak,” jelasnya lagi.
Terdahulu pada Isnin, Dalat telah mencatatkan 17 kes jangkitan positif Covid-19 yang dipercayai daripada Kluster Pasai, Sibu yang berlaku di Rumah Simu.