ARTIKEL

Uggah, Awang Tengah dan Dr. Sim serta delegasi Sarawak yang lain hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 Bilangan 2 Tahun 2026, di Putrajaya, di sini, hari ini.

Semua perkara tertangguh MA63 perlu diberi keutamaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Sarawak mahu semua perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh diberi keutamaan untuk dimuktamadkan sebelum Disember 2026.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan, rundingan berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berlangsung selama hampir sedekad sejak 2016.

“Semua perkara yang masih belum dimuktamadkan wajar diberi keutamaan agar dapat diselesaikan sebelum Disember 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026, di Putrajaya, di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud.

Delegasi Sarawak diketuai oleh timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Turut menganggotai delegasi Sarawak ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak, Setiausaha Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Kerajaan Sabah pula diwakili oleh timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, menteri-menteri negeri dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Sabah, manakala Kerajaan Persekutuan diwakili oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri serta ketua-ketua jabatan Persekutuan.

Sementara itu, Mustapha mengarahkan semua kementerian dan agensi Persekutuan memberikan kerjasama serta mengutamakan penyelesaian isu MA63 yang masih tertangguh.

Dalam hal berkaitan, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia mesyuarat turut membentangkan status terkini pelaksanaan perkara di bawah MA63.

Setakat ini, sebanyak 13 perkara diselesaikan sepenuhnya, lima diselesaikan secara interim, dua belum dimuktamadkan namun mempunyai keputusan dasar, empat masih dalam perbincangan dan lima lagi dirujuk untuk pertimbangan serta keputusan di peringkat tertinggi.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pertambahan perjawatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan serta pelaksanaan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua negeri.

Mesyuarat itu turut membincangkan isu kesihatan, pendidikan, pemberian kuasa berkaitan alam sekitar serta pembangunan kawasan sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Justeru, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan secara menyeluruh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i