Diabetes melitus atau kencing manis terjadi apabila kadar glukos (gula) tinggi dalam darah.
Hal ini disebabkan kekurangan insulin atau kurang keberkesanan insulin.
Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh organ pankreas berfungsi mengawal keseimbangan gula dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari darah ke dalam sel.
Penyakit kencing manis berlaku apabila glukos tidak dapat masuk ke dalam sel tubuh dan ia kekal berada di dalam darah. Ini menyebabkan paras glukos yang tinggi dalam darah.
Kebaikan senaman tidak dapat disangkal lagi terutama bagi penghidap penyakit kencing manis mahupun pesakit kronik yang lain.
Senaman dapat mengawal berat badan, menurunkan tekanan darah, menurunkan paras kolesterol buruk LDL, meningkatkan paras kolesterol baik HDL, menguatkan otot serta tulang, mengurangkan stres dan meningkatkan tahap kesihatan.
Kebaikan tambahan senaman untuk penghidap kencing manis adalah dengan turunnya paras gula dalam darah dan meningkatkan keberkesanan fungsi insulin.
Bagi penghidap diabetes, untuk menurunkan paras gula dalam darah, pesakit hendaklah sentiasa bergerak aktif.
Aktiviti fizikal yang kerap dapat memudahkan pergerakan gula dalam darah ke dalam sel otot untuk digunakan bagi menghasilkan tenaga pergerakan.
Ini sekali gus dapat menjadikan otot badan lebih sensitif terhadap fungsi insulin dan meningkatkan keberkesanannya.
Memandangkan risiko pesakit kencing manis mengalami masalah jantung dan strok tinggi, senaman berterusan amat penting buat pesakit.
Senaman membantu meningkatkan paras kolesterol baik HDL, mengawal tekanan darah, meningkatkan fungsi saluran darah dan melindungi jantung.
KONSISTEN
Senaman yang konsisten juga menstabilkan emosi, membantu menguruskan stres, dan meningkatkan kualiti tidur.
Stres meningkatkan penghasilan hormon kortisol yang mengurangkan keberkesanan insulin dan meningkatkan paras gula dalam darah.
Pengurusan stres yang berkesan dapat meningkatkan mutu pengambilan makanan yang sihat, manakala kualiti tidur yang cukup membantu menyeimbangkan hormon lapar.
Kesannya, lebih mudah pesakit membuat pilihan makanan sihat dalam mengawal pengambilan gula apabila mereka dapat rehat yang cukup dan tidak stres.
Kombinasi pemakanan yang sihat dan senaman berterusan dapat menyembuhkan penyakit kencing manis bagi sesetengah pesakit.
Kajian saintifik klinikal (Taheri et al., 2020) melibatkan pesakit diabetes yang melalui rutin intensif gaya hidup sihat merangkumi diet kalori yang rendah dan senaman secara berkala, mendapati 61 peratus daripada mereka tidak lagi menghidap diabetes.
Gabungan antara senaman kekuatan seperti angkat berat serta senaman aerobik dapat membantu meningkatkan keberkesanan fungsi insulin.
Kajian menunjukkan pesakit diabetes yang mempunyai rutin berjalan kaki sekurang-kurangnya dua jam seminggu mempunyai risiko rendah mengalami komplikasi jantung yang menyebabkan kematian berbanding mereka yang tidak melakukan sebarang senaman.
Senaman berjalan kaki, senaman mudah disarankan oleh pakar kesihatan untuk mengawal paras gula dalam darah.
RISIKO
Usaha yang lebih seperti berjalan tiga sehingga empat jam seminggu menurunkan lagi risiko komplikasi jantung ke paras yang lebih rendah.
Semua jenis senaman boleh diamalkan untuk mengurangkan paras gula dalam darah. Jika pesakit baru sahaja memulakan rutin senaman dan tidak pasti untuk memilih jenis senaman yang digemari, langkah awal yang boleh diambil ialah mencuba pelbagai jenis aktiviti.
Ini dapat membantu pesakit merasai sendiri semua senaman yang dilakukan dan memilih salah satu daripadanya.
Pesakit kencing manis boleh memilih senaman digemari.
Jika pesakit gemar pemandangan hijau dan menghirup udara segar, boleh sahaja mulakan aktiviti bersiar-siar di taman, mendaki bukit atau meredah hutan hijau.
Masa terbaik untuk bersenam adalah selepas satu hingga tiga jam selepas makan, iaitu ketika bacaan kadar gula selalunya tinggi.
Jika pesakit mengambil rawatan insulin tambahan, penting mengambil bacaan paras gula dalam darah sebelum bersenam.
Jika bacaan paras gula rendah iaitu kurang dari 100 mg/dL, pengambilan buah-buahan atau snek ringan dapat mengelak hypoglycemia iaitu kadar gula terlalu rendah dalam darah.
Pemeriksaan paras gula juga perlu dilakukan selepas setengah jam bersenam bagi mengetahui kestabilan kadar gula dalam darah.
Pengambilan insulin tambahan meningkatkan risiko pesakit mengalami hypoglycemia sepanjang enam hingga 12 jam selepas bersenam.
Pakar kesihatan juga menyarankan pesakit tidak bersenam jika paras gula dalam darah terlalu tinggi iaitu lebih 250 mg/dL, dikhuatiri berkemungkinan meningkatkan lagi paras gula terbabit.
Oleh itu, bacaan paras gula hendaklah diambil sebelum dan selepas bersenam bagi mereka yang mengambil rawatan insulin tambahan.



