BINTULU: Senari Synergy Sdn. Bhd. memperoleh dua anugerah berprestij daripada Yayasan Jenama Dunia pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah BrandLaureate.
Syarikat itu menerima anugerah tersebut pada majlis yang diadakan di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Senari Synergy Sdn. Bhd. berkata, syarikat itu menerima Anugerah BrandLaureate Fast Moving Growing Sustainable Business and Brands, mengiktiraf komitmen dan daya tahannya dalam mengejar kecemerlangan jenama.
“Anugerah ini, lambang pengiktirafan, menandakan kemunculan Senari Synergy sebagai jenama dan kedudukan yang diingini dalam mengemudi dunia perniagaan yang tidak menentu dan kompleks,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.
Pada majlis sama, Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy, Jefri Ahmad Tambi menerima Anugerah Kepimpinan Jenama BrandLaureate 2024 bagi Kecemerlangan Kepimpinan Korporat.
“Anugerah ini mengiktiraf pemimpin korporat dan perniagaan yang telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dalam menerajui pertumbuhan organisasi mereka, cemerlang dalam bidang pengkhususan dan membuat sumbangan penting kepada industri dan pembangunan negara,” kata kenyataan itu lagi.
Sebaik menerima anugerah itu, Jefri mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Senari Synergy Group yang telah bersamanya dalam meraih pencapaian tersebut.
“Anugerah ini mengiktiraf kerja keras pasukan dalam melonjakkan diri melangkaui sempadan kita.
“Tidak lupa juga kepada pengerusi dan ahli lembaga pengarah, pemegang taruh dan rakan niaga kami yang memberi kepercayaan kepada saya dan pasukan untuk mendapatkan pengiktirafan ini,” katanya.
Majlis anugerah ini dihadiri oleh pemimpin korporat dan ketua-ketua industri menjadikannya acara yang berprestij meraikan kecemerlangan dalam hubungan perniagaan dan inovasi jenama.



