ARTIKEL

Seni bina Islamik moden tarikan baharu Sri Aman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang terletak di tebing Sungai Batang Lupar dan dibangunkan di atas tapak seluas 6.37 ekar kini muncul sebagai mercu tanda pembangunan baharu di Bahagian Sri Aman, sekali gus mencerminkan kemajuan institusi Islam seiring pembangunan negeri.

Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, berkata pembangunan kompleks berkenaan bukan sahaja memperindahkan landskap bandar, malah menjadi simbol kemajuan serta keterangkuman pembangunan yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, kehadiran Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, yang turun padang meninjau projek tersebut, membuktikan komitmen terhadap ketelusan serta pemantauan rapi ke atas pembangunan di Sarawak, termasuk pembangunan institusi Islam.

“Pernah suatu ketika Datuk Wan Suraya menyatakan hasrat untuk melihat sendiri sama ada pembangunan benar-benar berlaku di Sarawak, termasuk peranan Majlis Islam dalam pembangunan ini.

“Alhamdulillah, hari ini beliau turun padang,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.

Kompleks tujuh tingkat itu yang mula dibina pada Februari 2021 bakal menempatkan beberapa jabatan dan agensi utama kerajaan negeri, termasuk Pejabat Daerah Sri Aman dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Selain meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan, kompleks berkenaan juga dijangka menjadi mercu tanda baharu Sri Aman menerusi seni bina Islamik moden, termasuk sistem pencahayaan berwarna-warni yang menambah tarikan visual, khususnya pada waktu malam.

Dalam pada itu, Misnu memaklumkan pembinaan Kompleks Islam Sarawak Sri Aman dilaksanakan seiring pembangunan kawasan sekitar, termasuk kewujudan Pejabat Residen serta pembinaan Jambatan Batang Lupar yang dijangka siap pada 2026.

Beliau menambah, pembinaan kompleks tersebut direalisasikan hasil sokongan kepimpinan negeri yang melihat keperluan mewujudkan satu mercu tanda penting bagi Bahagian Sri Aman.

Dalam aspek kebajikan, katanya, MIS komited memperkasa kebajikan umat Islam dengan menyalurkan bantuan berasaskan hukum dan hak, selain menyeru perpaduan masyarakat Islam demi kestabilan serta pembangunan negeri.

“Peranan MIS, khususnya melalui Tabung Baitulmal, bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan infrastruktur, malah melibatkan pemberian bantuan kepada golongan yang berhak berdasarkan asbab yang ditetapkan.

“Kami bukan hanya membangunkan bangunan, tetapi turut memberi bantuan kepada umat Islam yang memerlukan, termasuk bantuan pendidikan kepada anak-anak yang memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau turut menyeru ketua masyarakat serta umat Islam agar memaklumkan kepada MIS sekiranya terdapat individu atau keluarga yang memerlukan bantuan, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara adil dan berkesan.

Selain itu, Misnu menyeru umat Islam agar tidak berpecah-belah akibat perbezaan kecil atau kekurangan kefahaman terhadap agama, sebaliknya bersatu dan menjadi penyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Beliau juga mengingatkan masyarakat Islam supaya merujuk jabatan agama, pejabat Islam atau pihak Mufti bagi mendapatkan penjelasan berkaitan isu agama, demi memastikan keharmonian serta kekukuhan Islam di Sarawak terus terpelihara.

MERCU TANDA…Kompleks Islam Sarawak Sri Aman menjadi salah satu mercu tanda pembangunan baharu di bahagian ini. Foto Ghazali Bujang
Datuk Misnu Taha. Foto Ukas.
SIMBOLIK… Abang Johari menyempurnakan simbolik. Foto Ghazali Bujang

BERITA LAIN

BERITA TERBARU