BINTULU: Seni kaligrafi Cina bukan sekadar warisan tulisan tetapi turut menjadi wadah membentuk sahsiah, ketenangan jiwa serta ketelitian minda, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurutnya, pertandingan seperti itu bukan sekadar menguji kemahiran seni tulisan malah berperanan penting dalam mengukuhkan semangat komuniti serta memupuk minat generasi muda terhadap warisan budaya Cina.

“Pertandingan ini bukan sekadar acara pertandingan tetapi satu perhimpunan budaya yang memperlihatkan semangat perpaduan dan mempererat hubungan silaturahim dalam masyarakat,” katanya.
Tiong yang diwakili oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas II beliau, Steven Kong Kai Seng berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutupan Pertandingan Kaligrafi Cina Bintulu 2025 anjuran Persekutuan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bahagian Bintulu dengan kerjasama Pertubuhan Kaligrafi Cina Bintulu bersempena Pameran dan Jualan Sin Chew Daily Bintulu 2025 di Boulevard Shopping Mall, di sini pada Sabtu.
Jelasnya, seni kaligrafi melatih kesabaran, ketekunan dan kehalusan jiwa penulisnya kerana setiap goresan dan sapuan berus mencerminkan keperibadian serta ketenangan batin seseorang.
“Dalam dunia moden yang serba pantas, ramai anak muda lebih cenderung kepada penggunaan telefon pintar dan komputer. Namun, melalui kaligrafi, mereka dapat belajar memperlahankan langkah, menenangkan fikiran serta menumpukan perhatian. Ia seni yang mengajar kita erti kesabaran dan ketelitian,” ujarnya.
Tambahnya, pembelajaran kaligrafi juga boleh menjadi medium pendidikan nilai murni kepada pelajar selain membantu meningkatkan daya tumpuan, disiplin serta kreativiti.
“Kaligrafi bukan sekadar seni tulisan tetapi satu bentuk latihan minda dan jiwa yang mendidik kita menghargai proses serta usaha.
“Saya berharap lebih banyak sekolah dan pertubuhan akan terus menganjurkan aktiviti seperti ini agar seni warisan ini terus hidup subur dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Tiong turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, rakan kerjasama serta para penaja yang telah menjayakan pertandingan berkenaan.
“Usaha seperti ini bukan sahaja memperkukuh kegiatan seni di Bintulu tetapi juga mencerminkan komitmen masyarakat untuk menyeimbangkan kemajuan ekonomi dengan pembangunan budaya,” katanya.



