Di sebalik setiap langkah bunga, tumbukan dan tangkisan dalam seni kuntau, tersimpan kisah tentang warisan, ketabahan dan jiwa seorang anak muda yang enggan melihat budaya bangsanya tenggelam ditelan arus peredaran zaman.
Bagi Bradlly Hanson Ramsay, 27, seni kuntau bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah menjadi ruang untuk mengenali jati diri, menghargai budaya masyarakat Dayak dan mendekatkan dirinya dengan warisan Bumi Kenyalang.
Baginya, setiap gerakan dalam kuntau mempunyai makna tersendiri. Ia bukan sahaja melatih kekuatan fizikal, malah membentuk keberanian, rasa hormat dan semangat persaudaraan yang semakin sukar ditemui dalam kehidupan hari ini.
Menurut Bradlly, minatnya terhadap seni kuntau mula berputik apabila melihat abangnya terlebih dahulu mendalami seni mempertahankan diri tersebut.
“Pada mulanya, saya mengenali seni mempertahankan diri kuntau melalui abang saya sendiri yang terlebih dahulu mempelajari seni tersebut.
“Minat saya mula timbul apabila melihat keunikan gerakan bunga serta nilai budaya yang terkandung dalam seni kuntau.
“Selain itu, seni ini juga membuatkan saya berasa lebih dekat dengan budaya masyarakat di Sarawak, khususnya komuniti Dayak, yang kaya dengan warisan dan tradisi tersendiri,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak.
Bermula dengan perasaan sekadar ingin tahu, minat tersebut akhirnya berkembang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Selama tujuh tahun bersama Persatuan Kuntau Pukulan 7 Miri, Bradlly mengakui seni itu banyak mengubah cara dirinya melihat kehidupan.
Katanya, kuntau bukan sekadar mengajar gerakan dan teknik mempertahankan diri, malah membuka peluang untuknya mengenali pelbagai ragam manusia serta memperluas pergaulan.
“Saya mempelajari banyak perkara yang membuka pandangan saya terhadap kehidupan dan persekitaran dengan perspektif yang lebih luas.
“Selain menimba ilmu dalam seni mempertahankan diri, pengalaman ini juga memberi peluang kepada saya untuk memperluaskan pergaulan serta berkongsi pengalaman dengan orang lain,” ujarnya.
Namun, perjalanan mendalami seni warisan itu tidak pernah mudah baginya.
Di sebalik ketenangan gerakan bunga yang dipersembahkan di gelanggang, tersembunyi latihan yang panjang serta menuntut disiplin tinggi, fokus dan kesabaran.
“Antara cabaran terbesar yang pernah saya hadapi sepanjang menjalani latihan kuntau ialah menguasai setiap peringkat dalam seni tersebut yang mempunyai tahap kesukaran yang berbeza-beza.
“Semakin tinggi peringkat yang dipelajari, semakin banyak teknik, gerakan serta disiplin yang perlu dikuasai dengan teliti,” katanya.
Tambahnya lagi, menghafal setiap bunga kuntau memerlukan ketelitian dan latihan yang berterusan kerana setiap pergerakan perlu dilakukan dengan tepat dan kemas, sama ada ketika latihan mahupun pertandingan.
Dalam dunia kuntau, gelanggang bukan sekadar tempat bertanding.
Bagi Bradlly, gelanggang merupakan ruang untuk membuktikan hasil pengorbanan, usaha dan titik peluh yang dicurahkan selama bertahun- tahun.
Justeru, peluang mewakili persatuan dalam pertandingan kuntau peringkat Sarawak 2026 menjadi antara pengalaman paling bermakna buat dirinya.
“Peluang tersebut menjadi satu kebanggaan besar buat diri saya kerana ia membolehkan saya membuktikan hasil latihan dan kerja keras yang dicurahkan selama ini.
“Selain itu, pengalaman beraksi di pentas pertandingan turut memberi peluang kepada saya untuk bersaing dengan peserta lain dari seluruh Sarawak serta menimba pengalaman baharu dalam dunia seni tradisional ini,” ulasnya lagi.
Beliau turut menegaskan, kuntau bukan untuk menyakiti sesiapa, sebaliknya merupakan warisan seni mempertahankan diri yang sarat dengan nilai budaya dan adat masyarakat terdahulu.
“Bagi saya, kuntau merupakan antara warisan dan adat masyarakat Dayak terdahulu serta menjadi salah satu budaya penting masyarakat Borneo yang wajar dipelihara dan dihargai oleh generasi muda hari ini,” ujarnya.
Dalam setiap perjalanan seorang anak muda, sokongan keluarga sering menjadi kekuatan paling besar.
Bagi Bradlly, insan yang paling banyak memberi semangat kepadanya ialah ibunya sendiri.
“Beliaulah yang sentiasa memberi kata-kata semangat serta mendorong saya untuk terus berusaha mendalami seni kuntau walaupun ada kalanya saya berdepan cabaran dan keletihan sepanjang latihan,” ujarnya lagi.
Walaupun kecederaan kecil kadangkala berlaku sepanjang latihan, Bradlly menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Kecederaan kecil mungkin berlaku sepanjang menjalani latihan kuntau. Namun, sebelum memulakan sesi latihan, kami sentiasa melakukan regangan otot dan pemanasan badan bagi mengurangkan risiko kecederaan.
“Perasaan hampir berputus asa pula jarang berlaku kerana kami saling membantu dan memberikan semangat antara satu sama lain sepanjang latihan,” tambah Bradlly.
Bagi Bradlly, yang membuatkan dirinya terus bertahan hingga hari ini ialah rasa tanggungjawab untuk mempertahankan warisan masyarakat Dayak yang perlu dipertahankan.
Sehubungan itu, Bradlly berharap lebih ramai golongan muda akan tampil mempelajari seni mempertahankan diri tradisional tersebut agar warisan itu terus hidup daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Usaha memelihara seni kuntau sebagai warisan budaya sangat penting.
“Harapan dan impian saya semestinya agar warisan budaya seperti seni kuntau ini terus dipupuk dan dikekalkan oleh generasi muda supaya suatu hari nanti seni mempertahankan diri ini dapat diperkenalkan di peringkat antarabangsa,” katanya.



