»Pameran seni tahunan ke-40 anjuran Persatuan Pelukis Sarawak (SAS) membuka tirai pada Jumaat lalu di Wesberly Galleria, Kuching, dengan tema Heritage Reloaded, iaitu perjalanan seni yang menggabungkan warisan dan inovasi.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, yang menyifatkan pameran ini sebagai cerminan kekuatan dan daya tahan semangat kreatif masyarakat seni Sarawak.
Pameran yang berlangsung hingga 16 November ini mempamerkan 42 karya pelukis tempatan, merangkumi lukisan, instalasi, seni campuran serta karya digital, yang menampilkan pelbagai tafsiran moden terhadap warisan budaya Borneo.
Ia dibuka kepada umum dari jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang setiap hari dengan kemasukan percuma.
Menurut Presiden SAS, Sebastian Jong, Heritage Reloaded bukan sekadar pameran seni, tetapi satu gerakan kreatif yang menafsir semula identiti budaya Sarawak dalam konteks zaman moden.
“Pameran ini lebih daripada sekadar sambutan. Ia merupakan renungan terhadap siapa kita dan dari mana kita datang.
“Melalui tafsiran kreatif, kita bukan sahaja memelihara identiti budaya Sarawak, tetapi juga memberi nafas dan makna baharu kepada generasi akan datang,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
SAS yang ditubuhkan 40 tahun lalu bermula sebagai kumpulan kecil pelukis tempatan, kini menjadi antara persatuan seni paling aktif di Malaysia.
Jong turut menzahirkan penghargaan kepada pengasas dan pelukis generasi awal yang membina asas kukuh bagi pertumbuhan seni visual di negeri ini.
“Empat dekad lalu, para perintis kami percaya bahawa seni mampu menyatukan dan mendidik masyarakat.
Keberanian dan visi mereka melahirkan persatuan ini, dan hari ini kita berdiri atas semangat yang sama untuk terus menghidupkan seni Sarawak,” ujarnya.
Jong menggesa agar pameran ke-40 ini menjadi pemangkin kepada generasi baharu untuk terus mencipta dan menghargai warisan yang ada.
“Kita hidup dalam era kecerdasan buatan dan perubahan pesat, tetapi warisan tetap menjadi sauh kita.
“Reloaded bermakna kita tidak meninggalkan akar budaya, sebaliknya memberi tenaga dan makna baharu dengan pendekatan moden.
Inilah jambatan antara tradisi dengan inovasi,” katanya. Hilmy dalam ucapannya pula menyifatkan pencapaian 40 tahun SAS sebagai detik penting dalam sejarah seni tempatan yang wajar dihargai.
“Sepanjang empat dekad, SAS memainkan peranan besar dalam memupuk bakat tempatan dan menanam rasa cinta terhadap seni dalam kalangan masyarakat.
“Tema tahun ini, Heritage Reloaded, sangat tepat kerana ia menggambarkan dialog antara masa lalu dan masa kini,” katanya.
Beliau menambah, karya yang dipamerkan mengingatkan masyarakat bahawa warisan bukan sesuatu yang beku, tetapi hidup dan sentiasa ditafsir semula melalui kreativiti.
“Setiap karya di sini membawa cerita tentang identiti, memori dan imaginasi. Ia menghubungkan tradisi dengan ekspresi moden serta menonjolkan kepelbagaian budaya yang menjadikan Sarawak unik,” jelasnya.
Selain pameran utama, SAS turut menganjurkan beberapa aktiviti sepanjang sebulan berlangsungnya acara tersebut termasuk pelancaran buku khas sempena ulang tahun ke-40, sesi walkthrough bersama kurator, Dr. Mohamad Faizuan Mat, perbincangan bersama artis, bengkel hujung minggu dan aktiviti interaktif untuk komuniti.
Hilmy turut memuji usaha SAS memperkukuh landskap seni bandar raya Kuching melalui program pameran awam dan kerjasama kreatif yang menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
“Kuching bukan hanya kota perdagangan dan komuniti, tetapi juga kota budaya.
Seni awam dan pameran seperti ini memperkaya jiwa bandar, membawa makna dan inspirasi kepada ruang yang kita kongsi,” ujarnya lagi.
Pameran “Heritage Reloaded” menjadi bukti bahawa seni Sarawak terus hidup, bernafas dan berkembang — bukan sekadar mengenang masa lalu, tetapi menulis bab baharu dalam perjalanan kreatif negeri yang kaya dengan budaya dan sejarah.






