Pusat beli-belah The Spring baru-baru ini kelihatan meriah dengan kehadiran pengunjung ke festival Seni Kita: Riang Raya, diiringi alunan muzik gamelan tradisional yang bergema di ruang tersebut.
Deretan gerai yang menjual pelbagai produk tempatan serta hasil kraf tangan menjadi tarikan utama pengunjung.

Ada yang singgah untuk melihat dan mencuba produk yang dipamerkan, manakala ada juga yang mengambil peluang menyertai bengkel seni yang disediakan sepanjang festival berlangsung.
Festival komuniti ini, yang kini memasuki edisi ke-18, dianjurkan bagi menyemarakkan minat terhadap seni tempatan selain menyokong bakat kreatif dan usahawan tempatan yang terlibat sebagai peniaga.
Nama “Riang Raya” diambil daripada perkataan riang ria kerana festival Seni Kita berlangsung sepanjang bulan Ramadan hingga Aidilfitri.
Menurut wakil HAUS KCH yang juga pengarah bersama program, Sonia Luhong Wan, 36, festival tersebut merupakan hasil kerjasama dengan pihak The Spring bagi menghidupkan ruang di tingkat dua lokasi berkenaan.
HAUS KCH merupakan hab komuniti kreatif yang berpusat di Kuching dan memberi ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang serta mempamerkan kreativiti mereka.
Katanya, pihak The Spring mendekati mereka untuk menganjurkan festival di tingkat dua pusat beli-belah tersebut bagi menghidupkan ruang berkenaan serta menarik lebih ramai pengunjung. Tambah Sonia, konsep “Seni Kita” diambil daripada model pasar seni.
Namun, beliau menegaskan festival ini bukan sekadar berfokus kepada jualan semata-mata, sebaliknya turut mengetengahkan produk serta bakat tempatan.
Antara persembahan menarik ialah persembahan gamelan oleh kumpulan Gamelan Bayu yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), selain beberapa persembahan seni tempatan lain.
Selain itu, festival ini turut menampilkan bengkel, pameran dan pelbagai aktiviti seperti bengkel batik linut, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), selain beberapa persembahan seni tempatan lain.
Selain itu, festival ini turut menampilkan bengkel, pameran dan pelbagai aktiviti seperti bengkel batik linut sekali gus memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri proses penghasilan seni tekstil tradisional Sarawak.
“Memang festival Seni Kita ini menjadi platform kepada bakat kreatif tempatan dan usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka.
“Kriteria utama bagi peniaga yang ingin menyertai festival ini ialah mereka mesti mempunyai produk sendiri dan menghasilkan produk tersebut.
“Penjualan semula produk orang lain tidak dibenarkan kecuali jika mereka merupakan pengumpul kerana kebanyakan peniaga di sini menghasilkan produk mereka sendiri,” jelas Sonia ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak baru-baru ini.
Menurutnya lagi, terdapat beberapa peniaga yang pernah membuka gerai jualan festival tersebut dan kini berjaya menjadi pembekal serta menerima sambutan yang memberangsangkan.
“Ramai daripada mereka kini mempunyai perniagaan sendiri dan menjadi pembekal kepada peniaga lain, sekali gus menunjukkan festival ini membantu memperkenalkan produk tempatan kepada komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Sonia menjelaskan peranan komuniti menjayakan festival ini juga amat penting kerana usahawan kecil biasanya bermula dengan sokongan komuniti yang membeli dan mencuba produk mereka.
Sekiranya pengunjung sokongan komuniti yang membeli dan mencuba produk mereka.
Sekiranya pengunjung berpuas hati, mereka akan menyebarkan maklumat mengenai produk tersebut dari mulut ke mulut, sekali gus menunjukkan kekuatan sebenar komuniti dalam menyokong perniagaan tempatan.
Pada masa yang sama, sambutan terhadap festival ini juga amat memberangsangkan kerana ini merupakan kali pertama pihak penganjur mengadakan festival di The Spring.
“Ramai keluarga hadir memeriahkan festival ini kerana ia bersifat mesra keluarga selain memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana Ramadan dan Hari Raya dengan lebih dekat,” ujarnya.
Menurut Sonia, cabaran utama pihak penganjur adalah dari segi pembiayaan.
Katanya, kebanyakan pendapatan diperoleh daripada bayaran sewaan gerai oleh para peniaga dan pihak penganjur kini sedang berusaha mendapatkan tajaan tambahan.
“Alangkah baiknya jika ada institusi yang dapat menyokong kami supaya festival ini dapat diperluas lagi dan memberi lebih banyak peluang kepada bakat tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, festival Seni Kita: Riang Raya berlangsung dari 6 hingga 29 Mac ini, bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Festival ini bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan dan Aidilfitri di The Spring, malah menjadi platform penting bagi mengetengahkan seni, kreativiti serta produk tempatan kepada masyarakat Melalui penyertaan penggiat seni, usahawan kecil serta sokongan komuniti, festival ini membuktikan ruang kreatif seperti ini mampu memperkukuh hubungan antara seni, budaya dengan keusahawanan tempatan, sekali gus memberi peluang kepada bakat tempatan untuk terus berkembang.



