ARTIKEL

Tunku Azizah (tengah) menurunkan tandatangan pada plak perasmian outlet Sense of Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, disaksikan dari kiri Shahren Yusri, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Sense of Malaysia tonjol warisan dan produk kreatif Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perasmian Sense of Malaysia (SOM) oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan institusi Diraja terhadap seni, warisan dan komuniti artisan Sarawak yang menjadi identiti budaya tempatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Tunku Azizah menzahirkan kegembiraan kerana dapat merasmikan SOM yang dianggap bermakna kerana menghimpunkan produk tempatan sama ada daripada CENTEXS Commercial mahupun pengusaha lain untuk dipasarkan kepada pengunjung.

“Majlis perasmian ini diadakan bersempena lawatan khas dua hari baginda dari 7 hingga 8 Disember, termasuk menghadiri Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BTIF).

“Maklum balas yang diterima menunjukkan sambutan terhadap produk yang dijual di sini amat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian SOM oleh Tunku Azizah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata, lawatan tersebut merupakan penghormatan besar buat Sarawak, khususnya dalam usaha memartabatkan seni kraftangan, tekstil warisan dan produk kreatif masyarakat berbilang kaum negeri ini.

Abdul Karim bercakap pada sidang media. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

“Baginda bertitah bahawa produk di sini berkualiti baik dan perlu diperbanyakkan. Malah, baginda turut membeli beberapa barangan sebagai tanda sokongan. Ini satu maklum balas yang amat bermakna untuk para usahawan kita,” jelasnya.

Menurutnya, Tunku Azizah menyempurnakan simbolik perasmian dengan memotong reben dan menandatangani plak perasmian, sebelum meneruskan lawatan sambil melihat demonstrasi pembuatan Kek Lapis Sarawak, tenunan songket, pua kumbu dan sulaman keringkam.

Beliau menambah, Tunku Azizah turut mencadangkan agar produk keluaran penghuni di bawah Jabatan Penjara, seperti pastri dan kuih tradisional, diketengahkan.

“Baginda mencadangkan supaya kami meneroka potensi membawa masuk produk keluaran penjara seperti karipap dan kuih. Ia satu cadangan yang amat bernilai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SOM yang diusahakan dengan kerjasama CENTEXS Commercial dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan platform kepada usahawan kecil dan pengeluar tempatan (SME) memasarkan produk kraftangan, fesyen, kosmetik dan makanan kering kepada pelancong di lapangan terbang antarabangsa seluruh negara.

Tunku Azizah (tengah) memotong reben sebagai simbol perasmian pembukaan outlet Sense of Malaysia, disaksikan dari kiri Shahren Yusri, Tengku Puteri Raja Tengku Putri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Datuk Sabariah Putit dan Abdul Karim. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

“Melalui SOM, lebih ramai usahawan berpotensi mendapat pendedahan di peringkat global, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran produk Malaysia di mata dunia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat enam outlet Sense of Malaysia di seluruh Malaysia termasuk di Kuala Lumpur International Airport Terminal 1 dan Terminal 2, Penang International Airport, Langkawi International Airport, Kota Kinabalu International Airport dan Kuching International Airport.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan berbincang dengan MAHB mengenai kemungkinan memperluas pemasaran produk Sarawak ke KLIA1 dan KLIA2 agar lebih banyak diketengahkan di luar negeri,” jelasnya.

Setakat November 2025, Sense of Malaysia Kuching mencatat jualan sebanyak RM1,169,539.70 dengan 20 vendor berdaftar terdiri daripada kategori fesyen, kraf, tekstil, aksesori, makanan kering tempatan, kosmetik dan kesihatan.

“Purata jualan harian sekitar RM3,000 dan mampu mencecah sehingga RM13,000 pada hujung minggu. Ia menunjukkan peningkatan ketara bukan sahaja dari segi jualan, tetapi juga kualiti pembungkusan dan kreativiti produk usahawan tempatan,” katanya.

Turut berangkat ke SOM ialah anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Tunku Azizah (tengah) beramah mesra dengan Shahren Yusri (kiri) selepas menandatangani plak perasmian, sambil disaksikan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) dan tetamu lain. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Tunku Azizah (tengah) meninjau produk yang dijual di outlet Sense of Malaysia, sambil diperhatikan tetamu lain. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Tunku Azizah (ketiga dari kanan) bersama tetamu lain menyaksikan demonstrasi tenunan selendang keringkam. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Sebahagian produk yang dijual di outlet Sense of Malaysia. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Sebahagian produk yang dijual di outlet Sense of Malaysia. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Sebahagian produk yang dijual di outlet Sense of Malaysia. GAMBAR: RAMIDI SUBARI
Outlet Sense of Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

BERITA LAIN

BERITA TERBARU