SELANGAU: Setiap rumah panjang dicadangkan melahirkan sekurang-kurangnya seorang jutawan sebagai satu aspirasi baharu dalam memperkasakan ekonomi luar bandar.
Cadangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Ir. Christopher Gira Sambang semasa merasmikan Program Perkasa Komuniti di Rumah Empera Bunsu, Sungai Wong Atas, Ulu Mukah dekat sini, kelmarin.
Menurut beliau, selain melahirkan siswazah seperti yang pernah digesa mendiang Tan Sri Celestine Ujang (bekas menteri kabinet Sarawak), komuniti luar bandar kini perlu menetapkan matlamat lebih tinggi untuk menjadikan kemajuan ekonomi sebagai teras pembangunan.
“Saya cabar setiap rumah panjang di kawasan ini untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang jutawan.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada bantuan semata-mata, sebaliknya perlu mencipta kekayaan melalui peluang yang ada,” katanya.
Program anjuran bersama pelbagai agensi itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar mengenai peluang dalam bidang pendidikan,pertanian, perkhidmatan veterinar dan pembangunan ekonomi.
Antara pengisian utama termasuk ceramah motivasi pendidikan oleh pensyarah kanan universiti awam, ceramah perkhidmatan veterinar dan taklimat daripada pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Program turut dimeriahkan dengan demonstrasi pemadaman kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangau, demonstrasi cantuman pokok durian Musang King serta Pertandingan Futsal Piala YB Ir. Christopher Gira dan cabutan bertuah.
Gira berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Ulu Mukah termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan capaian Internet.
Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan masa depan termasuk pembinaan jalan dari Rumah Seli ke Rumah Merom di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan, serta dari Rumah Merom ke Nanga Woh melalui agensi Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).



