Seorang lelaki maut selepas kereta terbabas

MIRI: Seorang lelaki warga tempatan maut serta merta di tempat kejadian susulan insiden kenderaan dipandunya terbabas di KM5 Jalan Miri Lapangan Terbang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian kemalangan jalan raya terbabit berlaku sekitar jam 12 pagi di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa (pemandu) yang meninggal dunia dikenali sebagai Wong Yei Yang, berusia 28 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandaraya Miri hendak menuju ke Bintulu.

“Sampai di lokasi kejadian kenderaan yang dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar paip besar menyebabkan kenderaan jenis Proton Wira terbabit terheret ke tengah jalan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa yang berada di dalam kenderaan disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Katanya, beberapa tindakan susulan dilakukan hasil lawatan pihaknya ke tempat kemalangan.

“Kenderaan kemalangan ditahan untuk pemeriksaan pihak PUSPAKOM Miri manakala mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk bedah siasat dilakukan,” dedahnya lagi.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suara Sarawak