PESURUHJAYA Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata menggesa kerjasama semua pihak untuk membantu PDRM membendung gejala penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin membimbangkan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ketika ini ujar beliau, masalah dadah tidak hanya berlaku di bandar, sebaliknya semakin menular ke kampung dan rumah panjang jauh di kawasan pedalaman.
Trend yang meresahkan itu katanya, memerlukan penglibatan masyarakat termasuk ibu bapa agar memberikan kerjasama dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa jika masalah tersebut berlaku di tempat masingmasing.
Peringatan yang disampaikan beliau ketika menghadiri Program Kempen Jenayah Komersial di Sarikei dianggap sebagai sesuatu yang sangat penting khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Dan, hanya selang beberapa jam selepas nasihat itu dikeluarkan, masyarakat Malaysia tibatiba digemparkan dengan kes pembunuhan sepasang suami isteri warga emas dipercayai dilakukan oleh anak kandung sendiri yang memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Laporan akhbar mendedahkan, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Dalam pergaduhan itu, suspek dikatakan mengambil senjata tajam sebelum menikam kedua-dua ibu bapa menyebabkan mengalami kecederaan parah.
Lelaki itu dilaporkan baru dibebaskan dengan jaminan selepas dituduh di mahkamah baru-baru ini berkaitan kes dadah.
Dia juga pernah ditahan pada 30 November lalu di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu serta diberi jamin RM2,000.
Hasil ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan morfin.
Kejadian tersebut mengimbau semula beberapa kejadian yang pernah berlaku sebelum ini akibat penagihan dadah.
Tentu ramai yang masih ingat tragedi menyayat hati menimpa seorang ibu yang menjadi mangsa kekejaman anak kandung sendiri apabila dipenggal kepalanya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Siasatan yang dijalankan pihak polis, mendapati ujian air kencing suspek juga positif methamphetamine dan amphetamine.
Kejadian menakutkan itu membuka mata banyak pihak betapa seriusnya gejala penagihan dadah di negara ini. Kes-kes di atas mungkin hanya sebahagian daripadanya kerana mungkin ada yang tidak dilaporkan.
Ini juga jelas membuktikan gelaja dadah menyebabkan suasana kehidupan masyarakat tidak tenteram, paranoid dan struktur komuniti yang terancam.
Yang pasti, isu dadah merupakan masalah yang sangat serius kerana impaknya bukan sahaja kepada individu terlibat malah mampu melumpuhkan sesebuah negara.
Justeru selepas diisytiharkan sebagai musuh utama negara pada tahun 1983, isu berkaitan dadah dianggap sebagai ancaman besar kepada sistem sosial, ekonomi dan keselamatan negara.
Malah bahan terlarang itu juga dikatakan mampu mengubah pemikiran, emosi dan tingkah laku individu yang menyebabkan ketagihan dan boleh merosakkan akal serta fikiran.
Masalah penyalahgunaan dadah memperlihatkan perubahan trend yang semakin ketara, sekali gus menuntut semua pihak supaya berganding bahu dan bersepakat untuk memeranginya hingga ke akar umbi.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaporkan bahawa kes penagihan dadah menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini iaitu kepada 118,920 penagih, berbanding 93,534 yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Trend peningkatan itu dilihat semakin merisaukan dengan lebih separuh jumlah tersebut terdiri daripada golongan belia.



