Trending

Sepuluh ejen judi dalam talian berjaya dicekup di Kuching

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PADAWAN: Sepuluh individu warga Indonesia terlibat sebagai ejen judi dalam talian diberkas setelah pusat kegiatannya di Jalan Matang-Batu Kawa 7 diserbu polis, semalam.

Kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita masing-masing berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun gagal meloloskan diri dalam serbuan mengejut dilakukan sekitar jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Padawan.

Beliau yang juga turut hadir ketika serbuan mendedahkan pusat tersebut dipercayai telah beroperasi lebih kurang enam bulan dan mengaut keuntungan kasar mencecah RM8,000 sehari.

“Modus operandi pusat itu ialah menjalankan aktiviti selama 24 jam secara bergilir untuk mencari pelanggan yang bermain judi dalam talian termasuk 918 kiss, Kiss Kaya, Mega888,Pussy 888 atas talian melalui telefon, serta menggunakan rumah bangunan perumahan bagi mengaburi pihak berkuasa.

PEKERJA… kesemua pekerja sindiket judi dalam talian ditahan

“Hasil serbuan merampas lima unit komputer, lima monitor, sembilan telefon pintar pelbagai jenama, 10 tetikus, dan tiga papan kunci,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, setiap pekerja itu diberikan gaji sebanyak RM1,500 sebulan serta dibekalkan telefon pintar dan komputer bagi membuat urusan pasaran pelanggan tempatan.

Aidil menambah, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang mengaku sebagai penganjur pusat terbabit turut ditahan.

Dedahnya, suspek cuba memberi wang suapan bernilai RM18,500 agar polis tidak mengenakan tindakan undang-undang.

Susulan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala kes wang suapan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru