ARTIKEL

TANGKAP LAYAR…Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Annuar Rapaee pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Seramai 1,433 pelajar tolak FTES kerana kontrak biasiswa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 1,433 pelajar menolak tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat ini kerana majoritinya masih terikat dengan kontrak biasiswa sedia ada.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee berkata, majoriti pelajar terbabit ialah pelajar sedia ada atau pelajar tahun akhir yang telah menerima tajaan daripada agensi lain sebelum pelaksanaan skim berkenaan.

“Mereka bukan tidak suka atau menolak FTES ini, tetapi mereka mempunyai kontrak ataupun perjanjian dengan pihak biasiswa dan tidak dapat melanggar syarat kontrak tersebut.

“Ini kebanyakannya melibatkan pelajar sedia ada yang sudah berada pada tahun akhir pengajian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan ADUN Daro, Safiee Ahmad pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya penolakan itu bagaimanapun membuka peluang kepada pelajar lain untuk menikmati skim pendidikan percuma berkenaan.

Dalam pada itu, katanya seramai 4,694 pelajar daripada empat institusi pengajian tinggi di Sarawak ditawarkan pendidikan percuma menerusi FTES melibatkan pelajar baharu serta pelajar sedia ada yang mendaftar sebelum 31 Mac tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 172 pelajar ditawarkan pendidikan percuma di Kolej Universiti i-CATS, diikuti Universiti Curtin Malaysia (543 pelajar), Universiti Swinburne Kampus Sarawak (1,959 pelajar) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu dengan 2,020 pelajar.

“Jumlah ini pasti meningkat apabila pengambilan pelajar bagi Jun dan September nanti bertambah.
“Kita mensasarkan 10,000 pelajar di seluruh Sarawak akan menikmati pendidikan percuma ini mulai tahun ini,” katanya lagi.

Menjawab soalan tambahan mengenai kelestarian skim itu, Annuar berkata Kerajaan Sarawak yakin FTES dapat diteruskan dalam jangka panjang berdasarkan kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh serta simpanan untuk generasi masa depan, selain pulangan ekonomi daripada pelaburan pendidikan.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak terus meningkat dan mencecah RM148 bilion pada 2024, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai wilayah berpendapatan tinggi dengan KDNK per kapita sekitar RM73,000 hingga RM80,000.

Katanya, kedudukan kewangan negeri turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi penarafan kredit yang baik hasil rizab kewangan yang kukuh, pengurusan fiskal berhemat serta lebihan belanjawan yang konsisten.

“Apabila kerajaan mempunyai pendapatan lebih, kita harus memulangkannya kepada rakyat. Inilah konsep FTES, iaitu pendapatan negeri dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk pendidikan percuma,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak pada 2022 sebagai persediaan untuk generasi akan datang, termasuk memastikan anak Sarawak terus mendapat akses pendidikan berkualiti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai