KOTA SAMARAHAN: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MyKomoditi berjaya menghimpunkan kira-kira 800 peserta, sekali gus mencerminkan peningkatan minat terhadap bidang kemahiran dan sektor agrikomoditi.
Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri berkata, peserta terdiri daripada golongan belia termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar sekolah menengah serta institusi pendidikan teknikal.
Katanya, angka itu amat membanggakan dan mencerminkan peningkatan minat terhadap bidang kemahiran serta sektor agrikomoditi, sekali gus menjadi petanda positif untuk masa depan negara.
“Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti disusun secara komprehensif termasuk sesi ceramah dan perkongsian industri, pameran agensi dan syarikat, pameran produk berasaskan komoditi, demonstrasi pembuatan coklat, jualan produk tempatan serta pertandingan futsal yang diadakan pada 30 April lalu di Sarawak Skills Kuching.
“Pendekatan ini amat berkesan kerana bukan sahaja memberi pengetahuan, malah menyediakan pengalaman secara langsung kepada para peserta,” katanya ketika berucap pada Program TVET MyKomoditi di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menambah bahawa program berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil kepada 35 penerima daripada kumpulan kedua dan ketiga program rintis Pakar Penuaian zon Sarawak.
“Program rintis ini merupakan kerjasama antara Sarawak Skills, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta rakan industri yang telah melatih seramai 50 belia pada 2025.
“Oleh itu, saya merakamkan penghargaan kepada IMPAC atas kepercayaan yang diberikan kepada Sarawak Skills dalam melaksanakan program ini, selain membuka peluang kepada kira-kira 100 belia di Sarawak untuk menyertainya.
“Terima kasih juga kepada rakan strategik iaitu Tabung Haji Plantation dan SD Guthrie atas kerjasama dalam menjayakan program Pakar Penuaian ini,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa Sarawak Skills komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemacu pembangunan bakat, khususnya dalam bidang kemahiran teknikal dan industri.
“Kami percaya pelaburan dalam pembangunan modal insan adalah pelaburan terbaik untuk masa hadapan,” jelasnya.
Program TVET MyKomoditi dianjurkan dengan beberapa objektif utama yang jelas dan strategik, antaranya menyampaikan maklumat secara langsung kepada peserta mengenai keperluan tenaga kerja kritikal dalam sektor agrikomoditi yang kini menuntut tenaga kerja berkemahiran, berpengetahuan serta mampu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Selain itu, program ini turut mengetengahkan pelbagai laluan TVET yang ditawarkan melalui agensi dan institusi latihan, sekali gus menegaskan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan strategik untuk membina kerjaya yang stabil, relevan dan bernilai tinggi.
Pada masa sama, ia bertujuan menggalakkan penglibatan golongan belia serta mengubah persepsi terhadap sektor agrikomoditi sebagai bidang profesional yang menawarkan pelbagai peranan, daripada teknikal dan pengurusan hingga penyelidikan serta keusahawanan.
Program ini juga memberi pendedahan mengenai kelebihan sektor tersebut termasuk potensi pendapatan, kestabilan kerjaya serta peluang untuk terlibat dalam industri yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.



