Serba Dinamik dapat kontrak bernilai RM548.2 juta

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu, Serba Dinamik Holdings Bhd memulakan tahun 2021 dengan mendapat 11 kontrak dalam operasi serta penggendalian (O&M), kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) serta dalam maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT).
Anak syarikat milik penuhnya, SDIT International Ltd (SDITIL) memperoleh kontrak ICT, sementara anak syarikat 75 peratus miliknya, PT Serba Dinamik Indonesia (PT SDI) memperoleh lapan kontrak O&M.
Jumlah keseluruhan sembilan kontrak itu bernilai RM548.2 juta.
Sementara itu, baki O&M diperoleh anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB).
SDSB juga mendapat kontrak EPCC.
Serba Dinamik dalam satu kenyataan berkata nilai kedua kontrak itu tidak diperincikan kerana mereka berdasarkan “call-out” bermaksud arahan kerja diberikan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan jadual dan kadar aktiviti mereka sepanjang tempoh kontrak masing-masing.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata lima projek O&M diberikan oleh PT Pilar Bahtera Energi, pembekal tenaga tanpa gangguan terkemuka di Indonesia, ia membolehkan Serba Dinamik mengambil bahagian dalam industri tenaga republik itu.
Untuk projek ICT, syarikat itu akan melaksanakan Penyelesaian Pintar untuk pembangunan ‘Bandar Pintar dan Selamat’ di India.
“Walaupun berada dalam persekitaran bekerja dan perniagaan yang sangat mencabar, kami sangat gembira dapat memulakan tahun ini dengan projek bernilai RM548.2 juta. Ini pasti akan mengukuhkan perolehan kontrak kami dan memberi momentum awal kepada kumpulan,” kata Mohd Abdul Karim.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa syarikat itu akan terus memberikan hasil kewangan yang memberangsangkan untuk tahun 2021.
“Ini juga merupakan bukti pengalaman dan kepakaran kami bahawa kami akan terus mendapat dan menamatkan projek di pasaran domestik dan luar negara,” katanya.
 

Suara Sarawak