Serba Dinamik jadi inspirasi kepada graduan TVET

KUCHING: Serba Dinamik Holdings Berhad akan terus memberi aspirasi kepada pelajar dan graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam mempergiatkan pembangunan modal insan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, dalam berhadapan dengan cabaran industri 4.0 mesti keluar daripada kebiasaan.

“Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Pemikiran Kritikal dan Penyelesaian Masalah, Komunikasi dan sebagainya dalam peringkat pengajian, termasuk di menara gading.

“Pelajar di institusi seperti Politeknik Kuching hendaklah memiliki kemahiran tersebut dan perlu diasah dari setiap penjuru kehidupan seperti kolej kediaman, dewan kuliah dan banyak lagi,” jelasnya.

Teks ucapannya dibaca oleh Naib Presiden Projek Khas Serba Dinamik Holdings Berhad Dr Mohamed Ackiel Mohamed.

Tambah Abdul Karim, pengukuhan program akademik Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan juga pemerkasaan sistem TVET adalah langkah yang dilihat amat wajar.

“Kedua-dua bidang ini akan membantu negara dalam membentuk modal insan ke arah pembentukan teknologi baru agar para graduan dapat menangani cabaran revolusi industri 4.0 pada masa akan datang.

“Dalam membantu politeknik merangka strategi-strategi ia dapat menambah baik pengajaran dan pembelajaran seiring perkembangan semasa, pihak industri menyambut baik kerjasama dengan politeknik,” jelasnya.

Beliau berkata, hubungan kerjasama ini bukan perkara baharu dan wujud beberapa tahun dengan input dan nasihat industri telah menampakkan perkembangan jelas dalam kebolehpasaran graduan Politeknik Kuching yang meningkat kepada 97.7 peratus pada 2018.

“Dengan mengadakan banyak kolaborasi, Politeknik dapat mengaplikasikan pengetahuan terkini dan memperoleh pengalaman praktikal dalam usaha menutup jurang antara teori dan praktikal. Program CEO Fakulti diwujudkan dengan pemimpin industri dan sektor awam dipelawa untuk menyampaikan syarahan di politeknik,” ujarnya.

Karim menjelaskan, di peringkat global masalah pengangguran belia bukan merupakan isu baharu. “Bagaimanapun, perkembangan sosioekonomi kebelakangan ini memburukkan lagi keadaan tersebut.

“Pada masa hadapan, pengangguran belia yang tinggi dan berterusan serta ketaksamaan pendapatan yang semakin meningkat mungkin mengekang mobiliti sosial dan membawa kepada perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Beliau menyatakan di negara ini keadaan tersebut menyumbang kepada fenomena penghijrahan tenaga kerja mahir Malaysia ke negara maju dan jiran.

“Jika keadaan ini dibiarkan, generasi belia tersisih dari segi ekonomi ia mungkin mendatangkan kesan negatif terhadap landskap ekonomi dan sosial.

“Dalam masa terdekat, golongan belia perlu menghadapi pengaturan ekonomi yang memerlukan mereka lebih berdikari, terutamanya dengan penggantian pekerjaan yang mempunyai hubungan yang lebih luas seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat,” katanya.